Showing posts with label Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Al-Quran. Show all posts

Wednesday, January 11, 2012

Halangan dan Ujian : Pedoman Buat Pendokong PAS


Hidup manusia adalah penuh dengan ujian, dugaan, kesusahan, rintangan dan cubaan. Adalah mustahil bagi seseorang manusia dapat hidup tanpa menempuh ujian dan dugaan. Ini semua berlaku kepada manusia biasa. Bagaimana pula dengan para pendakwah dan pejuang Islam?

Tentulah mereka lebih banyak dan hebat ujian yang diterima. Setiap orang yang berjuang pada jalan Allah, berdakwah mengajak meninggalkan perkara-perkara yang disukai oleh hawa nafsu dan menerima ajaran Islam ; MAKA sudah tentu akan ditentang dan diperangi oleh golongan Taghut dan pendokong kebatilan. Mereka menjalankan amar makruf nahi mungkar akan ditentang oleh pendokong kemungkaran. Firman Allah,

وما نقموا منهم إلا أن يؤمنوا بالله العزيز الحميد

Maksudnya, “ Dan tidak mereka menyiksa mereka melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Mulia Lagi Maha Terpuji “.

Surah al-Buruj : 8.

Oleh yang demikian hidup pendokong gerakan Islam sentiasa dalam ujian, tekanan, fitnah dan dugaan yang tidak putus-putus. Apatah lagi gerakan dakwah Islamiyah menentang segala bentuk kezaliman dan maksiat, menentang Jahiliyah dalam semua bentuk dan corak samada kebudayaan, pemikiran, perlembagaan, sistem dan lain-lain.

Ujian dalam gerakan Islam dan dakwah Islamiyah juga merupakan suatu pengertian KHUSUS yang tidak terdapat dalam mana-mana gerakan yang tidak islamik. Malah Allah Ta’ala telah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa dakwah Islamiyah memakan masa dan penuh kesusahan. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 42,

لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا لاتبعوك ولكن بعدت عليهم الشقة ..

Maksudnya, “ Kalaulah ia (perjuangan Islam) merupakan habuan dunia yang dekat dan perjalanan yang senang (ditujui) dan pendek nescaya mereka akan mengikut engkau TETAPI perjalanan itu jauh dan penuh kesusahan”.

Berkata Imam Ibn al-Qayyim, “ Wahai mereka yang pondan keazamannya, jalan dakwah ini ialah jalan yang mana Nabi Adam telah penat, Nabi Nuh telah mengeluh (mengadu), Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api, Nabi Ismail disembelih, Nabi Zakariyya digergaji dan Nabi Yahya disembelih”.

UJIAN ADALAH SATU CARA DIDIKAN (TARBIYYAH)

Ujian dalam gerakan Islam dan dakwah adalah suatu cara yang penting UNTUK membina dan membentuk peribadi seseorang pejuang dan da’i, suatu asas pemilihan dalam pimpinan Islam; siapa yang tahan uji maka dialah yang layak memegang teraju pimpinan begitulah sebaliknya WALAUPUN mempunyai ijazah yang tinggi atau pandai berpidato,kerana dengan ujian akan lahirlah mereka yang kuat iman, dan juga dan juga mereka yang munafik,Firman Allah, >

Maksudnya ,Dan ada diantara manusia yang berkata,kami telah beriman dengan Allah,maka apabila di uji pada jalan Allah dia menganggap ujian dari manusia itu sama seperti azab dari Allah……….dan sesungguhnya Allah akan mengetahui mereka yang beriman dan mengetahui orang yang munafikin”.

- al-‘Ankabut : 11 – 15.

FirmanNya lagi:

ليميز الله الخبيث من الطيب

Maksudnya ,Supaya Allah dapat membeza yang baik dari yang buruk “.

- Surah al-Anfal : 37

Telah menjadi sunatullah bahawa kebenaran akan terus bertarung dengan kebatalan , apabila lahirnya sesuatu kebenaran maka turut lahirlah kepalsuan untuk menentangnya , dan untuk menutup dan menghancurkannya.Firman Allah dalam surah Al-Jin ayat 19,

وأنه لما قام عبدالله يدعوه كادوا يكونون عليه لبدا قل إنما أدعو ربى ولاأشرك به أحدا

Maksudnya ,’Dan sesungguhnya apabila bangun sesearang hamba Allah menjalankan dakwah,hampirlah mereka bermuafakat menentangnya .Katakanlah sesungguhnya aku menyembah tuhanku dan tidak aku syirik dengannya seseorang jua pun”.

dan firmanNya :

يريدون ليطفئوا نور الله بأفواههم والله متم نوره ولوكره الكافرون

Maksudnya,” Mereka bertujuan untuk memadam cahaya Ugama Allah dengan mulut mereka , pada hal Allah akan menyempurnakan cahaya ugamanya , walau dibenci oleh seluruh orang – orang kafir”

Sejak lahirnya para Rasul dan para pendakwah lagi pertarungan di antara mereka dan golongan pendukung parti Syaitan dan kebatilan wujud. Apabila Allah menjadikan Nabi Adam maka Iblis berusaha siang dan malam untuk menentang Nabi Adam ,Nabi Nuh ditentang kaumnya , anak dan isterinya , Nabi Ibrahim ditentang oleh Raja Namrud dan kaumnya , Nabi Musa ditentang oleh Firaun , Haman ,Qarun, Musa Samiriy , dan Bal’am bin Ba’ura .Nabi Muhammad ditentang oleh keluarganya dan musyrikin Makkah , sebab itulah Nabi Muhammad bersabda :

إن أشد الناس بلاء الأنبياء ثم الأمثال فالأمثال,,,, رواه الترمذى

Maksudnya, “Sesungguhnya manusia yang dahsyat ujian di antara manusia ialah Para Ambia’, kemudian orang yang yang hampir sama dengan mereka,”

dan sabdanya lagi,

إذا أراد الله بعبد خيرا عجل له العقوبة في الدنيا

رواه الترمذى والحاكم والبيهقى

Maksudnya:Apabila Allah mengehendaki dengan seseorang hamba akan kebajikan nescaya menyegerakan baginya siksaan di dunia.”

Sebab itulah seruluh Nabi dan Rasul mrnempuh berbagai – bagai ujian dan dugaan makin besar darjat kenabian dan kerasulan mereka makin besar pula ujian yang diterima dari Allah , begitu juga para pendakwah dan pejuang Islam yang mengikut jejak langkah mereka dengan baik.

Para sahabat Rasulullah diuji dengan dengan berbagai – bagai ujian. Khususnya para Muhajirin, sehingga Allah mencatit sejarah ujian mereka dalam Al – Quran, FirmanNya:

أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأساء والضراء وزلزلوا حتى يقول الرسول والذين ءامنوا متى نصر الله ألا إن نصر الله قريب .. البقرة 214

Maksudnya,” Adakah kamu menyangka bahawa kamu dapat memasuki syurga , padahal belum datang kepada kamu contoh mereka – mereka yang sebelum kamu, mereka ditimpa kesusahan,kemiskinan dan bala petaka dan mereka digoncang dengan ujian, sehingga berkata para sahabat yang berada bersama – sama Rasulullah , bilakah pertolongan Allah datang ? Tidaklah pertolongan Allah itu hampir”.

Para sahabat Rasulullah di zaman Makki diuji dengan berbagai – bagai ujian ada diantara mereka yang dibunuh, mereka diseksa, dipukul dan sebagainya. Sebagai contoh ;Khubaib Bin Adiy ditangkap dan diseksa kemudian dijual kepada seorang ketua kafir untuk dibunuh dan disula dan sebelum dibunuh beliau disula dan dipotong-potongkan anggotanya tetapi beliau tetap mengatakan لا إ له إلا الله محمد رسول الله hinggalah beliau mati dengan iman yang kuat.

Di zaman para Tabiin dan Al- Tabii tidak kurang juga ujian yangditerima oleh pendakwah dan alim ulama ‘ sebagai contoh :

· Said bin Jubair disembelih oleh Al – Hajaj bin Yusof Al Thaqafi
· Imam Abu Hanifah ditangkap dan diseksa
· Imam Al Shafei di tangkap
· Imam Ahmad Bin Hambal di tangkap , dipukul dan diseksa

Di zaman kerajaan Tartar dan di zaman berikutnya banyak para pendakwah, alim ulama’ tangkap , dipenjara dan diseksa ,termasuklah Iman Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim.

Di zaman moden ini ramai pendakwah dan pejuang Islam yang ditangkap dan diseksa serta dibunuh. Di antara mereka ialah Imam as-Syahid Hassan alBanna, Sayyid Qutb, as-Syahid Abdul Qadir ‘Audah dan lain-lain.

Dalam hal ini, Imam Hassan al-Banna menegaskan dalam bukunya, بين الأمس واليوم ;

“ Saya suka berterus terang kepada tuan-tuan sekalian bahawa sesungguhnya dakwah kamu ini masih belum dikenali oleh kebanyakan manusia. Dan di hari mereka dikenali dan diketahui tujuan serta matlamat perjuangan , kamu akan menerima tentangan yang paling hebat, permusuhan yang keras dan kamu akan berhadapan dengan kesusahan dan rintangan yang amat banyak, Dan di masa itulah kamu barulah mulai menjalani jalan-jalan para pendakwah.

Sekarang, kamu masih belum dikenali, kamu masih dalam peringkat merintis jalan dakwah serta masih dalam peringkat membuat persediaan untuk berjuang dan berjihad.

Kejahilan rakyat adalah menjadi batu penghalang yang besar di hadapan kamu Dan kamu akan jumpa di kalangan ahli agama Islam dan ulamak rasmi yang merasa pelik cara kamu memahami Islam serta mereka akan menafikan perjuangan kamu untuk membela ugama Islam. Dan kamu akan dapati seluruh pemimpin negara, ketua masyarakat dan mereka yang mempunyai kekuasaan dalam negara AKAN dengki dan memarahi kamu.

Dan seluruh kerajaan di dunia waktu itu akan bangun menentang secara bersama dan setiap kerajaan akan menghad dan menghalang keaktifan dan aktiviti-aktiviti kamu serta meletakkan batu penghalang di jalan-jalan kamu……mereka akan meminta bantuan dan kerjasama daripada kerajaan yang lemah dan orang yang tidak berakhlak mulia UNTUK menentang kamu. Dan semua mereka itu akan menimbulkan keraguan, kesamaran, kekeliruan dan tuduhan liar terhadap dakwah kamu.

Mereka akan meletakkan segala kelemahan dan kekurangan di atas dakwah kamu serta berusaha untuk mewujudkan/menjelaskan bahawa buruknya dakwah kamu kepada masyarakat umum DENGAN menggunakan kekuatan dan kekuasaan serta harta dan pengaruh mereka.

Firman Allah,

يريدون ليطفئوا نور الله بأفواههم والله متم نوره ولوكره الكافرون – الصف : 6

Maksudnya,” Mereka bertujuan untuk memadam cahaya Ugama Allah dengan mulut mereka , pada hal Allah akan menyempurnakan cahaya ugamanya , walau dibenci oleh seluruh orang – orang kafir”

Kamu dengan itu tidak syak-ragu lagi telah memasuki ke dalam tahap percubaan dan ujian….kamu akan dipenjara, ditangkap, dipindah kerja, diburu, dirampas hartabenda mu, dibekukan segala kerja dan aktiviti kamu, rumah dan kediaman kamu akan digeledah Dan mungkin ujian dan dugaan ini lama dan panjang masanya. Firman Allah lagi,

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا ءامنا وهم لايفتنون – العنكبوت 2

Maksudnya, “ Adakah manusia menyangka bahawa mereka ditinggalkan oleh kerana mereka berkata “ Kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji? “.

Malah Allah telah berjanji dengan kamu selepas itu bahawa ia akan memberi pertolongan kepada seluruh Mujahidin”.

JENIS-JENIS UJIAN

Ujian dalam dakwah Islamiyah amat banyak sekali,ada yang bercorak ujian rohani dan ada yang bercorak jasmani dan kebendaan.

Syed Qutb dalam kitab في ظلا ل القرآن telah menggariskan jenis – jenis ujian yang dihadapi oleh para pendakwah.

1. Penyeksaan dan perkara – perkara yang menyakitkan hati pendakwah yang datang dari pendokong – pendokong gerakan yang batil.

2. Ujian anak isteri, keluarga, dan kekasih yang mana pendakwah takutkan mereka itu diseksa dan diuji dengan sebabnya.

3. Ujian kekayaan dan habuan dunia datang melimpah kepada penyokong – penyokong kebatilan,sedangkan para pendakwah kosong dari habuan seperti itu.

4. Ujian merasakan dirinya dagang dan keseorangan dalam dakwah Islamiah sedangkan orang ramai tidak menyokong kebenaran dan dakwah Islamiah , malah mereka bermuafakat menentang dakwah Islamiah.

5. Ujian perpecahan umat dan negara Islam dan walaupun mereka berpecah dan melakukan maksiat mereka dapat hikmah dari Allah.

6. Ujian keatas nyawa.
7. Ujian tekanan hawa nafsu dan keinginan
8. Ujian tarikan hendak kekal di dunia ini.
9. Ujian berat tulang dan daging atau ujian malah bergerak untuk menjalankan dakwah Islamiah danberjuang kerana Islam.

10.Ujian rindukan kepada harta benda dunia , pangkat serta kekuasaan.
11.Ujian rindukan kepada kemewahan hidup di dunia dan tidak mahu bersusah payah.
12.Ujian susah hendak kekal di atas Istiqamah dan tetap pendirian di atas jalan Iman, kerana lambat kejayaan dapat dicapai.

CARA MENGATASI UJIAN

Pendakwah – pendakwah apabila diduga denganujian dan cabaran atau tekanan dan sebagainya hendaklah dia menghadapi dengan cara – cara berikut :

1. Sabar dan tetap pendirian dalam menghadapi cabaran dan ujian disamping mencari jalan yang diredhai Allah bagi mengatasinya.

2. Membanyakkan membaca Al – Quran dan Doa kepada Allah.

3. Mengingati bahawa umur dunia amatlah pendek dan tidak mengharap agar dunia ini sebagai syurga.

4. Mengingati bahawa sudah menjadi sunnah Allah kepada manusia dalam hidup dunia ini diuji dengan berbagai ujian.

5. Mengingati bahawa para Rasul dan Nabi lebih kuat ujian dan godaan dari kita.

6. Mengingati bahawa semua ujian atau bala yang dikenakan ke atas kita bukanlah merupakan lontaran sesat tetapi mengikut sunnah Allah qada’ dan qadar daarinya.

7. Mengingati bahawa dalam sesuatu ujian dan godaan yang terkena kepada kita memang dengan tujuan dan hikmat yang banyak dan mungkin boleh menguatkan iman dan dapat menghilangkan karat dosa.

8. Mengingati bahawa nyawa kita dan harta benda dan apa saja yang ada pada kita ini semua milik Allah yang diberi pinjam buat sementara waktu saja dan kita sekelian hamba tak lebih dari itu.

9. Mengingati bahawa setiap ujian dan bala yang menimpa kita di dunia ini akan diberi pahala yang besar sekiranya kita tahan uji dan sabar menghadapinya.

10. Mengingati bahawa setiap bala dan ujian di serata dunia ini walau bagaimana pun besar dan dasyat sekalipun, sekeliannya tidak dapat dibandingkan dengan siksaan Allah di akhirat Nanti.


Disediakan oleh :

Ustaz Hj. Mohd Daud Iraqi


Monday, August 8, 2011

Apa Beza Sogokan UMNO dan Sogokan Kristian?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhO3VN7e-4ccs3x1UFMn1bHbsM80HFFUtOvDmwu-KiqezOLZoX5BxtCXNXqOaJ3YmxDB0h0upcHycY2aYEwpajlpW7NCmuV6XHlKImTsXOiOkQctpx5uGVnLwkn-yt0gwLIEP6xCecDNVs5/s1600/tgna9.jpg

Dalam sehari dua ini, tidak ada cerita yang lebih panas melainkan isu serbuan gereja di Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Ruang-ruang media massa eletronik dan cetak digunakan sepenuhnya untuk menghebohkan cerita serbuan ini. Hilang sudah kisah penduduk tetap yang diberikan kerakyatan segera, dan barangkali juga turut hilang cerita saya dicabar untuk menafikan pertemuan dengan pihak tertentu untuk dilantik sebagai ketua Pakatan Rakyat. Selepas saya menyahut cabaran, tidak terlintas pula di dada akhbar orang yang mencabar saya. Jika sibuk beribadah di bulan Ramadhan, saya ucapkan tahniah.

Apapun, isu serbuan di gereja ini dihebohkan dengan kononnya ada orang-orang Islam yang diberikan habuan untuk menukar aqidah dan murtad dari agama. Soal benar atau tidak, saya serahkan kepada pihak berkenaan untuk melakukan siasatan. Namun, cerita manusia disogok wang ini bukan baru. Bahkan jika disebut tentang kepakaran menyogok wang ini, saya kira ada pihak lain yang lebih mahir dari pihak yang disebut-sebut itu. Cuma barangkali yang disebut-sebut sekarang ialah gereja dan pihak Kristian, sedangkan yang lebih hebat bermain wang dan sogokan seolah-olah tidak bersalah.

Hakikatnya, UMNO sudah lama bermain dengan sogokan ini. Bukankah setiap kali pilihanraya, rakyat disogok dengan pelbagai sogokan untuk mengundi parti mereka? Projek-projek mee segera diumumkan serta merta di kawasan di mana berlakunya pilihanraya kecil, apa namanya ini jika bukan sogokan? Sogokan tidak semestinya dalam bentuk wang yang diberikan di gereja. Sogokan juga boleh datang dalam bentuk projek mee segera. Itu belum dikira penggunaan wang secara berleluasa menjelangnya pilihanraya. Justeru, jika media massa milik UMNO sibuk menghebohkan soal gereja memberikan sogokan, saya kira mereka patut malu dengan diri mereka sendiri yang sudah bergelumang dengan jenayah moral ini begitu lama.

Perlulah diingat, Islam tidak tertegak dengan sogokan wang. Para sahabat yang mendaftar masuk sebagai muslim di zaman Rasulullah SAW tidak pernah terpaut kerana sogokan wang. Mereka datang kerana keyakinan mereka bahawa Islam itu benar. Bahkan Rasulullah SAW sendiri tidak dilantik dari kalangan orang-orang kaya dan berada untuk membersihkan Islam dari pengaruh kekayaan dan harta baginda. Baginda dipilih dari kalangan anak yatim dan bertugas pula sebagai pembela kambing sebelum dilantik menjadi Nabi. Ertinya, bukan pengaruh kekayaan dan pangkat baginda yang menarik manusia untuk memeluk Islam, tetapi akhlak, peribadi dan kebenaran Islam itu sendiri. Inilah yang disebut oleh isteri baginda, Khadijah Radhiallahu anha sewaktu memujuk suaminya itu yang sedang ketakutan selepas menerima wahyu yang pertama :

لا،أبشر، فوالله لا يخزيك الله أبدا؛ إنك لتصل الرحم، وتصدق الحديث، وتحمل الكل،وتقري الضيف، وتعين على نوائب الحق

Yang bermaksud : “Tidak, bergembiralah, demi Allah kamu tidak akan ditakutkan oleh Allah selama-lamanya. Sesungguhnya kamu menyambung silaturrahm, benar dalam kata-kata, menepati timbangan, memuliakan tetamu dan menolong orang-orang yang berhak…” – Hadis riwayat Bukhari.

Itulah sifat-sifat Rasulullah SAW yang disebut oleh isterinya yang tidak ada satupun menyenaraikan suaminya itu sebagai seorang yang kaya dan berpangkat. Budi pekerti yang baik inilah yang menarik seterusnya mengikat manusia dengan akidah Islam. Bahkan sebelum kenabian baginda lagi, baginda digelar sebagai al-Amin (yang amanah) dan bukan al-Ghaniyy (kaya). Justeru, baginda tidak datang dengan habuan wang ringgit dan projek-projek pembangunan untuk menarik manusia sebagaimana yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Sedangkan inilah yang dipohon oleh orang-orang kafir yang sudah enggan beriman dengan baginda. Firman Allah SWT :

وقالوا لن نؤمن لك حتى تفجر لنا من الأرض ينبوعا ( 90 ) أو تكون لك جنة من نخيل وعنب فتفجر الأنهار خلالها تفجيرا ( 91 ) أو تسقط السماء كما زعمت علينا كسفا أو تأتي بالله والملائكة قبيلا ( 92 ) أو يكون لك بيت من زخرف أو ترقى في السماء ولن نؤمن لرقيك حتى تنزل علينا كتابا نقرؤه قل سبحان ربي هل كنت إلا بشرا رسولا ( 93

Yang bermaksud : Dan mereka berkata: "Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami, atau kamu mempunyai sebuah kebun korma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya, atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami. atau kamu mempunyai sebuah rumah dari emas, atau kamu naik ke langit. dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah Kitab yang kami baca". Katakanlah: "Maha Suci Tuhanku, bukankah Aku Ini Hanya seorang manusia yang menjadi rasul?" – Surah al-Israk, ayat 90-93

Adapun UMNO, sangat berbeza dengan pendekatan yang diajar oleh nabi. Wang ringgit digunakan sewenang-wenangnya untuk menyogok rakyat seolah-olah rakyat sudah menjadi bahan belian yang boleh ditukar ganti dengan nilai. Padahal ditetapkan umur 21 tahun untuk layak mengundi dengan tujuan supaya pengundi dapat menggunakan pertimbangan akal fikiran yang matang untuk memilih pemimpin. Lalu jika wang ringgit digunakan untuk membeli pertimbangan ini, apa gunanya ditetapkan umur 21 tahun?

Di Terengganu sewaktu Dato Seri Presiden PAS menjadi Menteri Besar, mereka sekat royalti minyak dan ditukar menjadi wang ihsan. Lalu wang ihsan inilah yang dijaja ke seluruh negeri untuk menyogok rakyat. Begitu juga di Kelantan hari ini, mereka menjaja wang ihsan yang asalnya merupakan royalti yang wajib dibayar. Diheboh pula bahawa Kelantan tidak akan membangun tanpa UMNO, tidak ubah seperti ayam jantan yang mendakwa matahari tidak akan naik jika ia tidak berkokok! Saya kira, apa yang UMNO lakukan di Kelantan dan Terengganu ini hakikatnya tidak kurang teruknya dengan apa yang didakwa dilakukan oleh gereja dan gerakan kristianisasi. Itupun jika berita yang disebarkan itu benar. Biasanya jika media UMNO yang berbicara, daripada 9 perkara yang disebut, 10 daripadanya hanyalah provokasi dan manipulasi maklumat!

Dari sudut yang lain, jika orang Melayu sudah begitu teruk sehingga akidah mereka mampu dibeli oleh gerakan Kristianisasi, manakah maruah UMNO yang selama ini sibuk berjuang menjaga Melayu dan Islam? Nampaknya Malaysia ini tidaklah makmur sangat di bawah kepimpinan UMNO sehingga akidah pun mampu dibeli dengan duit. Alhamdulillah, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang membentangkan statistik kes murtad beberapa bulan lepas daripada tahun 2000 sehingga tahun 2010, tidak ada satu pun kes yang terlibat di Kelantan.

Kesimpulannya, jika gerakan Kristianisasi itu teruk, maka UMNO pun tidak kurang teruknya!


YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia NIk Abdul Aziz bin Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 8 Ramadhan 1432H / 8 Ogos 2011M

Friday, August 5, 2011

Ramadhan Bulan Hidayah


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh67WioNO4kN5njzUGBDANw4ZYN7B1JE4hZHPKJjTwifvtAOB16lGV6MBkNRttvSwCZKyyLQJFgtN9wrW6E9rcchD7BFaTa7Sp3u6XxenvP1kkUEMxr_bBz4cmLlJioUmEF4n1FZe7LVlpS/s1600/tgna8.jpg

Firman Allah SWT :

ياأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa..” – Al-Baqarah, ayat 183

Alhamdulillah, sekali lagi tetamu mulia bernama Ramadhan menjenguk ke dalam ruang hidup kita. Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah SWT, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.

Sebagaimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.

Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Dan hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah SWT. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain.

Hidayah ialah satu benda yang tidak diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah. Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak pernah menyebut persoalan hidayah. Umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun.

Inilah silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini. Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah SWT. Di dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus. Firman Allah SWT :

اهدنا الصراط المستقيم

Yang bermaksud : “Tunjukilah kami jalan yang lurus..” – Surah al-Fatihah, ayat 6

Sekiranya hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan ini kepada Allah SWT berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah SWT. Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang mendapat nikmat yang besar. Firman Allah SWT :

صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين

Yang bermaksud : (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. – Surah al-Fatihah, ayat 7

Dan siapa pula orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah SWT :

مَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ

Yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya..” – Surah an-Nisa’, ayat 69

Selain memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan beramallah dengan kandungannya. Al-Quran ialah manual yang diturunkan Allah SWT untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana bumi ini diciptakan oleh Allah SWT dan manual penggunaannya hanya dikeluarkan oleh Allah SWT.

Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, syurga dan neraka. Ia umpama lampu suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah. Sebagaimana kita akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat, demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya. Lampu suluh kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di akhirat nanti. Mereka yang menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh Allah SWT. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam kubur dan kegelapan di hadapan Allah SWT kelak.

Bahayanya masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku manual hidup. Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet Union,ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan kemudharatan kepada Islam.

Bumi ini yang pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang pernah dicatat di dalam sejarah. Masjid-masjid cukup besar namun sunyi dari diimarahkan. Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur. Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan kehidupan.

Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah.

Apa yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut. Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk disemai semula.

Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk menyemarakkan al-Quran. Ibubapa berperanan di rumah, guru-guru di sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama dan insya-allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan.

Akhir kata, selamat menyambut Ramadhan. Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu.


YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.


Saturday, June 11, 2011

Bani Israil Dakwa Mereka Saja Yang 'Boleh Pakai'

RAFI’ bin Huraimilah tidak beriman dengan Nabi Isa a.s. dan Injil. Dia mengaku hanya Nabi Musa sahaja yang benar, sedangkan orang-orang Kristian tidak benar. Berkata pula rombongan daripada Najran; “Golongan kamilah yang benar, manakala golongan kamu tidak benar dan telah ingkar kenabian Nabi Musa sahaja serta kitab Taurat.”

Lalu Allah SWT menurunkan firman- Nya yang disebut terdahulu yang menjelaskan orang-orang Yahudi mengatakan bahawa orang-orang Nasrani tidak ada apa-apa pegangan yang sebenar pada hal mereka itu semuanya membaca kitab. Mengapa mereka tidak membuka kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa a.s.? Kalaulah mereka itu buka kitab Injil nescaya terbuktilah siapa yang salah. Tetapi mereka tidak berani membuka kitab kerana apabila mereka melakukannya, maka akan terbukti kesalahan mereka.

Allah berfirman maksudnya: “Begitulah juga orang-orang yang tidak mengerti bercakap seumpama percakapan mereka itu.” (Al-Baqarah ayat 113) Ini termasuk manusia pada zaman sekarang yang degil dengan kebenaran, tidak bersedia membuka al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w untuk menjadi bahan rujukan. Golongan ini termasuklah di dalam keterangan firman Allah SWT di mana Allah mengatakan begitulah juga (Allah SWT sebut tanpa berselindung lagi), berkata orang-orang yang tidak mengerti seumpama kata orang Yahudi dan Nasrani.

Masing-masing mendakwa diri masing-masing betul dan mereka tidak bersedia untuk balik kepada kitab Allah. Memang Allah SWT bersifat dengan Maha Mengetahui dan sememangnya manusia yang jenis seperti itu keras hati, tidak bersedia untuk menerima kebenaran dan petunjuk daripada Allah SWT.

Jawapannya ialah firman Allah yang bermaksud: “Maka Allahlah yang menghukum di kalangan mereka pada hari kiamat.” (Al-Baqarah ayat 113)

Jika semua mahu berdegil, maka tunggulah kiamat dan kita semuanya akan mati tidak kira apa jenis fahaman kita, sama ada yang berpihak kepeda kebenaran atau kebatilan. Sekiranya semua berdegil maka tunggulah Allah menjadi hakim pada hari kiamat dan sesungguhnya keputusan Allah adalah keputusan yang muktamad pada apa-apa yang mereka perselisihkan. (Ayat 113 surah al-Baqarah)

Mereka itu akan kembali kepada Allah dan Dia sahaja yang akan memberi keputusannya. Inilah apa yang berlaku di atas dunia hari ini. Orang Komunis berkata fahaman komunis sahaja yang betul, orang yang pakar undang-undang manusia mengatakan undang-undang manusia betul dan mereka pula berbalah sesama sendiri.

Kita yang mahu kepada Islam pula mengatakan bahawa Islam sahajalah yang betul manakala mereka pula mengatakan Islam tidak betul. Ada pula yang membahagikan Islam kepada berbagaibagai jenis dan bentuk rupa.

Pertelingkahan golongan hak dan batil

Ada yang mengatakan bahawa kalau kita mahu kepada Islam, kita mestilah Islam semua sekali termasuk sembahyang, puasa zakat, haji dan semua urusan hidup dalam erti kata mesti mengikut hukumhukum yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran.

Ada pula yang mengatakan bahawa kita laksanakanlah sekadar Islam yang kita mahu melaksanakannya, manakala hukum atau peraturan yang kita rasa tidak mahu melaksanakannya, tidak mengapa ditinggalkan. Ada yang mengatakan inilah yang betulnya. Inilah bentuk pertelingkahan yang berlaku di kalangan Yahudi dan Nasrani dan inilah juga pertelingkahan yang berlaku di kalangan orang yang tidak mengerti dan tidak tahu akan agama Allah, maka semua mereka akan ditemukan oleh Allah pada hari kiamat.

Semua mereka akan dibicarakan di hadapan Allah pada hari kiamat dan sesungguhnya keputusan Allah adalah keputusan yang Maha Adil dan Maha Bijaksana. Kalau semua berkata merekalah yang betul, Abu Jahal dan Abu Lahab pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. juga mengakui bahawa mereka di atas jalan yang hak walaupun mereka menegakkan benang basah.

Walaupun apa yang mereka tegakkan itu suatu yang batil, mereka tetap mengatakan ia adalah benar. Sekiranya manusia mahu berkata seperti itu maka tunggulah hari kiamat. Hari kiamat itu pasti berlaku. Sekiranya manusia ini percaya kepada hari kiamat, dia akan gerun. Apabila manusia itu gerun dia akan kembali kepada kitab Allah, kepada hukum Allah.

Dia tidak mahu berdegil kalau dia bersalah, maka dia akan kembali ke jalan yang sebenar. Kalau dia betul maka dia akan bersyukur kepada Allah SWT, kalau seseorang itu tidak berapa percaya kepada hari kiamat, maka beratlah hukuman ke atasnya di akhirat kelak. Ataupun hari kiamat dia percaya juga tetapi hari kiamat itu dia pandang ringan sahaja sebab hari kiamat tidak dapat dilihat dengan mata kepalanya pada hari tersebut. Dengan keadaan seperti itu, maka ramailah orang yang berdegil dan tidak bersedia untuk kembali kepada yang hak.

Tunggulah, masing-masing akan menerima akibatnya pada hari kiamat. Yang benar, akan menerima balasan kebenarannya dan yang tidak benar akan menerima akibat kebatilannya pada hari itu.

Firman Allah SWT dalam ayat 114 dan 115 surah al-Baqarah yang bermaksud:

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.(114)

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa mengetahui.” (115)

Dinukil daripada buku kuliah Tafsir ‘Usaha jahat Yahudi’ oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang, muka surat 25-30, terbitan Dewan Muslimat Sdn Bhd, 1999


Friday, January 21, 2011

تضرعا و خفية و خوفا و طمعا




Firman Allah SWT yang bermaksud :

Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas..

Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik..

(Al-A'raaf : 55-56)