Sunday, May 8, 2011

Islam Agama Rasmi : Kami Akan Pertahankan!

Saya ditanya pagi tadi oleh pihak media berkenaan laporan muka hadapan Utusan Malaysia pada hari ini kononnya usaha mnjadikan Kristian agama rasmi negara. Saya katakan, lagikan MCA tidak percaya Utusan Malaysia, takkanlah saya mahu percaya? ~TGNA


KUALA LUMPUR, 8 Mei: PAS menegaskan akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk memperkasa Islam sebagai agama rasmi, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, ianya sebagaimana telah dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam pada tahun 2009 dan diperkukuhkan lagi pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada 2010.

Ketiga-tiga komponen parti iaitu PAS, PKR dan DAP telah bersetuju akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini.

"Tekad ini adalah suatu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama Pakatan Rakyat.

"Oleh yang demikian hirup pikuk yang di lemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu beragama Islam, bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian adalah suatu pemberitaan yang sangat tidak beramanah," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau dipercayai mengulas laporan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia yang mendakwa pemimpin-pemimpin Kristian berkonspirasi dengan DAP untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara.

Laporan muka depan akhbar itu semalam bertajuk “Kristian agama rasmi?” ditulis berdasarkan sumber beberapa blogger pro-Umno yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Bagaimanapun Presiden PAS berkata, kegagalan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kealpaan dan kelemahan pimpinan Umno yang telah lebih dari 50 tahun memerintah.

Menurutnya, Umno bukan sahaja gagal memperkasakan Islam sebagai agama persekutuan malah juga gagal menyediakan kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat.

Akibatnya, Umno telah melemahkan jati diri orang Melayu beragama Islam, dan seterusnya menghadapi kecelaruan sakhsiah dan bencana akidah, tambah Tuan Guru Abdul Hadi lagi.

Jesteru soalnya, apa lagi yang boleh diharapkan dari Umno yang juga gagal memberikan menunjukkan contoh Islam yang unggul kepada rakan mereka MCA dalam Barisan Nasional.

"Hasilnya kita dapat lihat sendiri bagaimana pendirian dan kenyataan politik pimpinan MCA ini semakin hari semakin hanyut dan menampakkan kecelaruan dalam memahami Islam sebagai agama rasmi negara kita ini," tegasnya.

Haa Cucuh, Cucuh Lagi!


KUALA LUMPUR, 8 Mei: Gempar seluruh negara apabila akhbar Utusan Malaysia beberapa hari yang lalu seperti menyalakan api ketegangan antara agama ketika mencetus persoalan agama rasmi negara dengan spekulasi kononnya ada pihak tertentu yang berjuang untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi di negara ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, suatu fakta yang diketahui umum bahawa Perlembagaan negara telah memeteri Islam sebagai agama rasmi negara ini sementara ummat Islam pula masih menjadi golongan majoriti biarpun Malaysia adalah sebuah negara majmuk.

Justeru itu, katanya Islam tidak sewajarnya tergugat dan ummat Islam tidak selayaknya membenarkan Islam digugat.

Jelasnya, PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara ini pastinya tidak lebih rendah usahanya untuk memperjuang, mempertahan dan menegakkan Islam berbanding Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, kegigihan serta kesungguhan PAS berjuang serta berkorban demi melihat Islam tegak dan berdaulat di dalam negara ini nyata tidak boleh dipertikai merentasi rekod dan sejarah perjuangannya.

“Sungguhpun PAS menyertai ‘kerjasama politik’ bersama parti-parti rakan kompenan Pakatan Rakyat (PKR dan DAP), namun PAS tidak pernah mengendurkan pedatinya untuk terus memacu perjuangan Islam, jauh sekali untuk berubah arah meninggalkan prinsip perjuangan yang didokong selama ini,” tegasnya.

Malah, tambahnya pacuan semakin kencang ke arah menguasai negeri bahkan negara agar bebas dari cengkaman pengaruh dan kuasa Umno juga Barisan Nasional yang menjadi punca Islam dilihat lemah serta terdedah kepada ancaman setelah lebih 50 tahun mereka memerintah, mengurus dan mentadbir negara.

Beliau berkata, andainya Islam hari ini dilihat terancam dan penganutnya pula lemah pegangan agama adalah menjadi tanggungjawab semua melewati peranan dan tugas yang sayugianya dilaksanakan.

Katanya lagi, sementara kerajaan selaku pemegang amanah rakyat untuk menjaga agama, negara dan warganya mestilah mengambil tanggungjawab dengan penuh keinsafan melepasi jangkauan sempadan kepentingan politik dan parti.

“Saya melihat spekulasi yang ditimbulkan oleh Utusan Malaysia kononnya terdapat pihak tertentu yang berusaha untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kelemahan dan kegagalan Umno sebagai parti utama dalam Barisan Nasional menunaikan amanah yang digalaskan kepada mereka selaku pemerintah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, lebih 50 tahun rakyat memberi kepercayaan dan mandat kepada Umno mewakili Barisan Nasional untuk memimpin dan mentadbir negara khasnya untuk melindungi agama Islam dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menambah, malang sungguh, malang seribu kali malang apabila Islam bukan sahaja tidak semakin kuat dan utuh tetapi dikesan umum bahawa ia semakin susut dan merosot.

“Jika Umno berjaya dan mampu menjaga agama Islam ini dengan baik dan menjadikan ianya semakin hari semakin kuat dan hebat, saya percaya dan yakin spekulasi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini tidak akan timbul,” ujarnya.

Bahkan, katanya dalam masa yang sama, penganut-penganut agama selain Islam akan terasa aman dan selesa untuk mengamal serta menganut agama mereka.

Tambahnya, spekulasi yang dicetuskan oleh Utusan Malaysia ini bukan sahaja menampakkan kelemahan dan kegagalan ketara Umno dan Barisan Nasional selaku pemerintah, ia juga berpotensi menyalakan api ketegangan antara agama.

“Pastinya situasi ini akan menggugat keamanan negara dan rakyat yang sepatutnya memperolehi hak hidup aman dan sejahtera,” katanya.

Menurutnya, spekulasi itu sangat tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, selain dari potensi menggugat keamanan, spekulasi sedemikian juga dilihat umum sebagai usaha meraih perhatian politik murahan sekaligus percubaan nekad untuk menyembunyikan kelemahan dan ketidakupayaan mereka menjaga agama suci ini.



Tuesday, May 3, 2011

Kematian Osama : Respon TGNA


Jika benarlah Osama bin Laden benar-benar telah dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat seperti yang diumumkan oleh Presiden Barrack Obama semalam, maka saya sebagai seorang Islam mendoakan rahmat dan keampunan Allah SWT untuk Osama bin Laden yang merupakan saudara saya di dalam Islam.

Inilah yang dituntut oleh Islam sewaktu menerima berita kematian saudara seagamanya. Sebesar manapun kesalahan seorang muslim, jika ia mati dalam keadaan agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara Muslim yang lain.

Adapun keterlibatan Osama bin Laden dengan keganasan, saya serahkan kepada Allah SWT kerana ia masih belum terbukti melainkan melalui propaganda yang dipelopori oleh Amerika Syarikat. Jika benar beliau terlibat dengan keganasan, sudah tentu saya tidak menyokong keganasan tersebut.

Bagaimanapun keterlibatan Osama dengan keganasan masih lagi merupakan berita samar yang tidak dapat disahkan, namun keterlibatan Amerika Syarikat sendiri dalam keganasan sudah terbukti. Ini jelas dengan serangan terhadap Afghanistan dan Iraq yang menghancurkan kedua-dua negara ini dengan tujuan mencari senjata pemusnah yang tidak dapat dijumpai sehingga ke hari ini.

Apa pula tindakan Amerika Syarikat terhadap Israel yang terang-terang melakukan keganasan di bumi Palestin? Bukan sahaja tidak bertindak, bahkan Amerikalah yang kuat menyokong Israel.

Justeru, jika Osama dianggap sebagai pengganas, maka Israel lebih patut disebut sebagai ganas dan penyokongnya Amerika Syarikat juga tidak boleh lari dari digelar sebagai ganas. Inilah yang saya tegaskan kepada Duta Besar Amerika Syarikat yang datang ke pejabat saya pada 28 April 2011 yang lepas, bahawa sepasang selipar pun tidak boleh dirampas dari tuannya yang berhak, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat seperti Palestin, lebih-lebih lagi tidak berhak untuk dirampas oleh Israel.

Adapun mereka yang berkata bahawa dunia lebih selamat dengan kematian Osama, saya anggap kenyataan tersebut sebagai tidak cermat dan hanya bertujuan menampakkan diri sebagai penyokong Amerika. Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?

Sekian, wassalam.

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat
Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Orang Melayu : Marilah Sama Bersepakat!


KUALA LUMPUR, 1 Mei:
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya meninggalkan parti itu dan bersama PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan untuk semua bangsa di negara ini.

“Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada di tangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Presiden PAS itu memberi respons terhadap kesekelian kalinya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan tanpa segan silu mengulangi lagi seruannya supaya PAS bekerjasama dengan Umno BN dan meninggalkan kerjasama PAS menerusi Pakatan Rakyat (PR).

Najib berkata, pemimpin PAS perlu menerima kenyataan bahawa mereka mesti keluar daripada pakatan pembangkang jika benar-benar berjuang untuk kepentingan agama Islam.

Menurutnya, PAS tidak akan memperoleh apa yang dicita-citakan selama ini dan kerjasama dengan parti pembangkang lain hanya memberi keuntungan kepada DAP.

''Tak kisahlah sama ada PAS mahu bersendirian atau bergabung dengan Umno, yang penting mereka tidak boleh bergabung dengan DAP kerana usaha PAS dalam memperjuangkan Islam akan terhalang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyung, Kuala Terengganu semalam.

Bagi PAS, tegas Tuan Guru Abdul Hadi seruan Najib itu adalah janggal dan aneh, kerana PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan Umno BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat yang telah menjadi bencana dalam negara kita yang tercinta ini.

Katanya, kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan memusnahkan harta negara.

“PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama PR adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman,” tegasnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Jelasnya lagi, kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama tahaluf siyasi yang dibenarkan agama dan tidak menggadaikan prinsip.

Ia, katanya tidak sama dengan kerjasama wala antara Umno dengan MCA dan MIC yang menggadaikan prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam dalam negara kita ini sejak puluhan tahun.

“Kita ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90% adalah orang Melayu-Islam?

“Siapakah pula yang mendiskriminasikan penyokong pembangkang di kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan Umnoputra?

“Siapakah yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini?” soalnya.

Jawapannya, kata beliau adalah kerajaan pimpinan Umno BN itulah yang sebenarnya melemahkan orang Melayu itu sendiri.



Saturday, April 30, 2011

Jangan Main Dengan Sumpah Laknat!


KUALA LUMPUR, 29 April: PAS mengingatkan semua pihak tidak mempermainkan sumpah laknat seperti yang mahu dibuat ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah hari ini berhubung video seks yang didedahkannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata dalam perundangan Islam, sumpah di hadapan hakim mahkamah syariah mempunyai nilai yang tinggi bagi menjaga martabat seseorang yang dituduh.

Bagaimanapun katanya, penuduh yang menggunakan kaedah sumpah laknat untuk membenarkan tuduhan, bukan sahaja akan merosakkan nilai sumpah itu sendiri, malah lari dari kaedah Islam.

"Sumpah mesti di dalam mahkamah atas arahan hakim syarie.

"Kita tengok sumpah ini dah jadi macam satu trend baru untuk menuduh orang. Lepas tuduh, bersumpah nak membenarkan tuduhan.

"Iaitu guna metodologi Islam (sumpah) untuk menghalalkan benda yang bukan syarak (fitnah)," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas hasrat Eskay yang mahu bersumpah laknat di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pelaku dalam video seks yang didedahkannya.

Beliau juga turut mengulangi penegasan bahawa Anwar juga tidak perlu bersumpah atas desakan mana-mana pihak kecuali hakim mahkamah syariah.

"Jika Anwar bersumpah di khalayak seperti yang didesak pihak tertentu, adakah ia menjamin bahawa tuduhan ke atasnya itu digugurkan?" soal Tuan Ibrahim.

Sebelum ini, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria turut menegaskan Anwar tidak perlu bersumpah mubahalah atau kerana pelaku dalam rakaman video seks masih belum dibuktikan lagi.

“Sumpah (mubahalah) dalam mahkamah bukan di luar... lagipun apa guna beliau (Anwar) nak bersumpah? Jadi beliau tidak perlu bersumpah di hadapan masyarakat, kenapa tidak buat di mahkamah? Anwar tak perlu dihukum sebab beliau tidak lagi didapati bersalah.

“Dalam video itu, kita belum tahu siapa pelakunya, kalau nak bersumpah mubahalah pun kena tunggu bukti dulu tapi kalau ada (bukti) pun Anwar tidak boleh disabitkan bersalah sebab menurut Islam perlu ada empat saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku,” katanya.


p/s :

1) jom dgr penerangan daripada....

i) Tuan Guru Dato Haron Din

ii) Ust Azhar Idrus

2) rakyat akan TERUS di PERBODOHKAN, terutamanya MELAYU la..

3) SEKS diperkatakan dgn TERBUKA tanpa SEGAN SILU, gila JIJIK!

4) dan antara kesannya, BANYAK lagi la SEKOLAH MENGANDUNG akan dibuka?

5) ustaz dan ustazah umno apa khabar?.. jangan sampai jadi BARUA UMNO sudahla!

6) akhirnya, inilah rupanya malaysiaku tercinta! :(



Friday, April 29, 2011

Baca Harakah Dan Suara Keadilan Pun Haram?


KUALA LUMPUR 27 April – Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din menafikan ada mengeluarkan kenyataan bahawa membaca Utusan Malaysia sebagai haram dari segi Islam seperti mana yang dilaporkan oleh akbar Suara Keadilan.

Menurutnya, beliau langsung tidak menyentuh bahawa membaca Utusan Malaysia haram sebaliknya mengulas apabila ditanya mengenai berita-berita yang tersebar di negara ini.

"Saya diminta mengulas mengenai berita-berita yang kini tersebar di media massa dan elektronik. Sepanjang ulasan, saya langsung tidak sebut secara khusus seperti dilaporkanSuara Keadilan membaca Utusan Malaysia adalah haram.

"Itu bukan perkataan saya, kita perlu adil kepada semua, saya sendiri baca Utusan, tak kan saya baca saya kata haram. Sebaliknya saya ulas soalan yang ditanya berasaskan kepada al-Quran," katanya di sini hari ini. - Utusan


p/s :

1) haram tak haram BUKANLAH terletak pada ke utusan nya itu, BUKAN juga pada membacanya!

2) yg haramnya adalah pada penulisnya sekiranya apa yang ditulis itu BERITA FITNAH, JIJIK, KOTOR dan TIDAK MENEPATI KEHENDAK AGAMA!

3) maka, sekiranya penulis HARAKAH maupun SUARA KEADILAN pun melakukan benda yang SAMA, maka HARAMLAH juga hukumnya!

4) dan sekiranya PEMBACA juga MEMPERCAYAI dan BERIMAN kepada mana-mana media TANPA PENELITIAN dan USUL PERIKSA yang BERSUNGGUH maka APA BEZA LAGI PENULIS dan PEMBACA?

5) tapi REALITINYA bagaimana? MEDIA mana yang MENGHIDANGKAN FITNAH DAN KEJIJIKAN YANG TIDAK BERASAS? tepuk dada, TANYA IMAN!

6) SAYA?.. saya BERKECUALI! hehe.. TAPI SAYA TAK NAFIKAN BAHAWA UTUSAN SENGAJA membawa fahaman RASIS, MENCETUS KETEGANGAN ANTARA KAUM dan media PEROSAK MINDA RAKYAT yang PALING AGUNG di MALAYSIA!

7) Wallahua'lam!


Friday, April 22, 2011

Tukar TGHA : Respon TGNA


Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS.

Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya.

Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya.

Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi.

Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS.

Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar?

Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.

Sekian, wassalam.

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim.



Thursday, April 21, 2011

Keris : Simbol Melayu Yang Membebalkan?

umno

perkasa

isma?.. superimposed kot?




p/s :

1) trio ni!.. tp bukan dato T.. hehe

2) oit, org xpakai kerih da zaman skrg!

3) ade org bg gmba ni, sy xcari ye!.. :D

4) alamak, bukan superimposed la! huhu

5) yg dimaksudkan dgn keris itu adalah keris seperti dalam gambar2 diatas, keris semata-mata keris xdak masalah apa pun!

dan sy bukanlah golongan "malays skepticism!)
:)




Tuesday, April 5, 2011

Surat Cinta Untuk Anak Muda!


'SURAH' ATH-THAWRAH ('SURAH' REVOLUSI)

Dan katakanlah kepada Umno...
pabila seks sudah dipolitikkan
ketika cerita gelora di ranjang
di dada akhbar, diperpanjang
kemarahan rakyat memuncak
fikiran jadi edan kerana diapi-apikan.

Kini, cuma ada tiga patah kata
yang lama terapung di udara kita
hanya tiga pekikan dan jeritan
untuk rakyat mengajar mereka.

Di bawah kolong langit negara
yang makin kuat diracun fitnah
rakyat mesti dididik bertempik!

"REVOLUSI! SAMPAI MATI!"

-drpd FB-


Sunday, March 27, 2011

Tiada Perjuangan Tanpa Pengorbanan!

"Apabila bangsa itu mahu menjadi bangsa yang hidup di suatu hari nanti, maka bangsa itu mestilah menyahut seruan beriman dengan seruan qada Allah. Malam pasti akan berlalu dan tibanya waktu siang, dan pastilah gari yang mengikat rakyat itu akan pecah suatu hari nanti."

KUALA KRAU, 27 Mac:
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan para petugas parti supaya tidak gopoh di dalam perjuangan.

Katanya, para pejuang tidak boleh gopoh dalam perjuangan, walaupun dilihat hampir untuk menempuh kemenangan.

“Para petugas dakwah ini juga mestilah yakin dengan janji Allah SWT, bahawa tugas yang sangat mulia ini akan dibayar dengan syurga Allah SWT,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Krau, dekat sini, hari ini.

Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS kawasan yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau yang juga ahli Parlimen Marang turut mengajak para petugas PAS supaya mengambil pengajaran daripada perjuangan para rasul dan nabi.

“Lihatlah juga pedoman dan rentetan perjuangan para nabi dan rasul alaihimussolatuwassalam yang selama ratusan tahun teguh serta istiqamah pegangannya dalam membawa amanah Allah Taala ini,” ujarnya.

Tambahnya, para pejuang Islam juga hendaklah sabar dalam menempuh jalan ini, dan tidak menjadikan diri mereka di kalangan orang yang ingin cepat dalam mencapai kemenangan.

“Ambillah iktibar janji Allah, bahawa sekiranya jalan perjuangan ini mudah dan cepat, nescaya ramailah penyokong yang akan bersama kita untuk menunggu habuannya. Sedangkan kemenangan memerlukan pengorbanan, dengan menjadikan kemenangan dalam perjuangan ini mestilah dengan tarbiyah, iman dan penuh akhlak Islam dengan tidak membalas dendam sesudah mencapai kemenangan,” ujarnya lagi.

Beliau juga menjelaskan bahawa Allah mengurniakan amanah mentadbir sesebuah kerajaan kepada yang dikehendaki-Nya, sebagai suatu ujian dalam kehidupan di dunia.

Katanya, asas pembangunan negara dari segi pembangunan insan adalah pembangunan roh dan akal dengan iman, ilmu dan akhlak yang mulia.

Menurutnya lagi, Islam yang ingin dilaksanakan oleh sesebuah kerajaan adalah bukan di atas kepentingan politik, tetapi adalah tanggungjawab dari Allah.

Justeru, tegasnya perjuangan Islam memerlukan pengorbanan, tiada jalan mudah dan diiringi karpet baldu yang cantik, tetapi penuh dengan onak dan duri sepanjang jalan perjuangan.

Beliau mengakhiri ucapan perasmian dengan membacakan dua rangkap syair bahasa Arab yang diucapkan oleh Abu al Qaseem As Syaabi dari Tunisia yang meninggal dunia pada pertengahan tahun 1930-an dalam usia muda.

"Apabila bangsa itu mahu menjadi bangsa yang hidup di suatu hari nanti, maka bangsa itu mestilah menyahut seruan beriman dengan seruan qada Allah. Malam pasti akan berlalu dan tibanya waktu siang, dan pastilah gari yang mengikat rakyat itu akan pecah suatu hari nanti."