Friday, October 7, 2011

Mampukah PAS Menjadi Bahtera Penyelamat Umat Ini?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjrT4Dr4aZAgEuO6VSc-cKgS9ezOtkwunc15tRFh-uon08Hll_v0W4HuKw1npNBU_YduJYgEbauZoAzNONRttoukHuYImXnaBlvQiEHrjdx2wsrLmYj6WaInm2Rll3qgvv4KQ1CGJand-EW/s1600/60.jpg


KEPALA BATAS, 1 Okt: PAS kini sudah memasuki era baru dalam perjalanan perjuangannya yang kini mencecah usia 60 tahun sejak penubuhannya 1951, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bercakap sewaktu menyampaikan ucaptama di Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, Kepala Batas di sini, Presiden PAS itu berkata parti Islam itu kini telah mendapat kepercayaan pelbagai pihak di negara ini.

Kepercayaan itu ujarnya hasil daripada pengamatan rakyat melihat ketabahan PAS yang tidak berganjak memperjuangkan keadilan Islam biarpun menghadapi tekanan dan penindasan sejak zaman penjajah dan penafian hak oleh pusat biarpun telah menguasai beberapa negeri.

"PAS adalah parti yang bertunjang dengan teguh dan kuat, tidak terpengaruh dibawa arus penjajah.

"Ada yang terjebak dengan Komunis, British dan Jepun. Tapi PAS tidak hanyut dengan mana-mana fahaman penjajah," katanya.

Selepas merdeka pula, PAS yang mengambil sikap menyertai pilihan raya untuk menegakkan Islam terus mendapat tekanan daripada parti pemerintah biarpun kini telah berjaya menguasai beberapa negeri bersama Pakatan Rakyat.

"Semangat faderalisme dicabul pemerintah. Sewaktu kita memerintah Terengganu hak royalti dirampas, dinafikan hak di Kelantan," katanya lagi.

Kepercayaan terhadap PAS yang perjuangannya dipandu Majlis Syura Ulama, terus menebal apabila mempamerkan pentadbiran yang baik dan adil di negeri-negeri yang dikuasai.

Jika dahulu katanya, PAS hanya dilihat diskong oleh orang Islam, namun hari ini PAS sudah mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari kaum Cina dan India.

Malah gabungan profesional dan ulama yang memimpin PAS juga telah menguatkan lagi parti itu sekaligus menafikan persepsi bahawa PAS hanya untuk golongan agama.

Sehubungan itu ujarnya, PAS kini menjadi harapan sebagai "bahtera penyelamat" kepada segala permasalahan yang sedang menimpa masyarakat pada hari ini.

"Di zaman Nabi Nuh, baterah Nabi Nuh menjadi penyelamat, di zaman ini PAS adalah bahtera penyelamat terhadap kehidupan manusia berlandaskan al-Quran, hadis, ijma' dan qias," tegasnya.

Sementara itu, lebih 7000 hadirin hadir ke Kongres 60 Tahun PAS hari ini.

Selain ucaptama presiden, kongres kali ini juga turut memberikan anugerah "Pahlawan Umat" kepada Presiden PAS ke-3 Dr. Burhanudin Al-Helmi.

Sehubungan itu, gelaran tersebut akan digunakan setiap kali nama Dr Burhanudin disebut.

Sebelum penyampaian anugerah itu yang diterima isteri beliau, jasa dan semangat perjuangan Dr. Burhanudin diceritakan melalui puisi khas yang didelamasikan Saterawan Negara, Datuk A.Samad Said.



Thursday, October 6, 2011

60 Tahun PAS : Tergelincirkah Dari Landasan?


KEPALA BATAS: PAS telah melalui pengalaman yang panjang dan matang serta menghadapi cabaran bermula di zaman penjajah hingga ke zaman globalisasi kini dalam tempoh 60 tahun usia penubuhannya, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Jelas beliau, PAS menjadi parti yang berpengalaman dalam perjalanan perjuangannya bukan sahaja menjadi pembangkang tetapi juga memerintah kerajaan negeri di Kelantan, Kedah dan pernah di Terengganu dan Perak selain menyertai rakan campuran di Selangor dan Pulau Pinang.

“PAS adalah parti yang bertunjang dengan tunjang yang teguh dan kuat, yang tidak hanyut di zaman cabaran menghadapi penjajahan. Dalam perjuangan menentang penjajah, PAS dapat menyerlahkan pemimpin-pemimpin yang murni suci ketika masyarakat di negara kita ada yang terpengaruh dengan komunis, dengan British, yang terpengaruh dengan berbagai-bagai fahaman dalam pergolakan.

“Pertarungan kuasa Timur dan Barat dalam pertembungan untuk menentang penjajah, ada orang Melayu yang terjebak dengan British, dengan Jepun, yang terjebak dengan komunis. (Tetapi) pimpinan PAS, adalah pimpinan yang bebas daripada pengaruh British, Jepun dan Komunis.

“Inilah kumpulan yang melahirkan Persatuan Islam di Tanah Melayu yang dapat menyelamatkan rakan-rakan daripada tawanan pelbagai jenis itu,” ujarnya berucap pada Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, di sini 1 Oktober lalu.

Terang beliau, sejarah menunjukkan bahawa PAS menyertai dan bekerjasama dengan banyak pihak termasuk Umno untuk menuntut kemerdekaan dengan menyerlahkan pendirian tegas PAS rupa bentuk negara yang sepatutnya terbentuk selepas negara merdeka.

Hal itu katanya, kerana PAS mempunyai acuan yang tersendiri ditunjuk oleh Allah dan diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

“Kita perlu faham, kita bukan sahaja wajib membebaskan diri dari penjajahan asing yang bersifat manusia, termasuklah kita perlu membebaskan diri dari penjajahan pemikiran yang sedang membelengu kita.

“Sejak sebelum merdeka PAS memilih menyertai jalan demokrasi secara aman untuk menegakkan cita-cita PAS, dengan menyertai pilihan raya tahun 1955,” jelas Ustaz Abdul Hadi.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengulas panjang lebar kepincangan demokrasi kelahiran Barat sebelum para ilmuan mereka mengkaji kitab-kitab politik Islam.

“Pendemokrasian Barat menjadi moden hasil kajian mereka kepada prinsip Islam, melahirkan pemimpin bermaruah, menjadi pendemokrasian sebagai mahkamah rakyat yang adil untuk menghukum pemerintah, media menjadi saksi yang adil.

“Pemimpin mereka sanggup terima kekalahan dalam pilihan raya atau letak jawatan sekiranya berlaku sesuatu. Inilah hasil daripada Islam, malangnya ajaran ini ditinggalkan oleh orang Islam sendiri dan melupakan soal maruah.

“PAS mahu menghidupkan amalan ini mengembalikan umat Islam kepada demokrasi yang diambil daripada roh Islam. PAS menyertai pilihan raya pertama sejak zaman penjajah. Seterusnya selepas merdeka PAS rebah bangun dalam pilihan raya dan memerintah kerajaan negeri.

“Menang di Kelantan, di Terengganu, ditumbangkan di Terengganu, didaruratkan di Kelantan, walaupun kita dijatuhkan dengan cara tidak begitu rupa, tidak bermaruah, tidak beradab, kita bukan golongan yang gila kuasa, kita menunggu dengan sabar. Bukan seperti parti yang kalah dalam tahun 1969 mencetuskan Darurat 13 Mei,” ujarnya menempelak Umno.

Jelas beliau, PAS bukan sahaja berusaha untuk menang tetapi juga boleh menerima kekalahan sebagai menunjukkan sikap terbuka yang ada pada PAS.

Malah tegasnya, PAS istiqamah untuk mendokong sistem politik Islam sebagai teras pemerintahan negara bermula dengan menegaskan sebahagian daripada Islam yang syumul dan lengkap sepertimana memperkenal tema Negara Berkebajikan.

Perkara itu ujarnya, bukanlah asing bagi mereka yang mengkaji Islam, sebaliknya golongan bebal menuduh PAS menyeleweng dari perjuangan.

“Biar anjing menyalak, tetapi kita akan terus berjalan menuju matlamat,” tegas Ustaz Abdul Hadi dalam ucapannya itu.



Wednesday, October 5, 2011

Islam Teras Kekuatan PAS

PERCAYALAH SAUDARA, PERJUANGAN KITA ADALAH JIHAD! UCAPAN KITA ADALAH JIHAD! DERMA KITA ADALAH JIHAD! DAN KERANA KITA BERJUANG DENGAN PUAK-PUAK INI, KALAU KITA MATI KERANA BERLAWAN INI, MATI KITA ADALAH MATI SYAHID, MATI KITA ADALAH MATI ISLAM! ~AMANAT HAJI HADI

KEPALA BATAS:
PAS adalah sebuah parti Gerakan Islam dan parti politik Islam yang antara terawal ditubuhkan kesinambungan daripada kedatangan Islam di Asia Tenggara, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Jelas beliau, kemunculan PAS adalah satu tuntutan daripada Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

“Menyambung perjuangan di zaman tidak ada nabi dan rasul ialah kumpulan Islam yang ciri-cirinya dinyatakan Allah SWT di dalam al-Quran dan dihayati generasi awal umat Islam yang menyambung perjuangan Rasulullah SAW.

“Kebangkitan sebagai sebuah gerakan Islam adalah selaras dengan gerakan tajdid, gerakan pembaharuan yang akan wujud di sepanjang zaman yang akan menyatakan bahawa cahaya Islam tidak boleh dipadamkan.

“Kelahiran PAS adalah hasil gerakan tajdid seawal gerakan diambang kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah. Gerakan yang dipimpin oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh yang mengembalikan semangat umat yang mengalami perpecahan kerana serangan pemikiran sekularisma yang melahirkan fahaman nasionalisma yang fanatik,” ujarnya berucap pada Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, di sini 1 Oktober lalu.

Terang beliau, gerakan dicetuskan Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh telah melahirkan putera-putera Islam di Asia Tenggara yang datang ke rantau ini menghadapi cabaran penjajahan.

Asia Tenggara katanya, menjadi sasaran awal penjajahan Barat yang gagal menjatuhkan Khilifah Islamiah di pusatnya lalu mereka menakluk Melaka tahun 1511 oleh Portugis diikuti Belanda dan Inggeris.

Terang Ustaz Abdul Hadi, ketika Barat melakukan penjajahan melalui Syarikat Hindia British dan Hindia Belanda, golongan Islam pula menubuhkan Partai Syarikat Islam pada tahun 1908 di Indonesia dan ditubuhkan cawangannya di Tanah Melayu.

Katanya, walaupun pihak penjajah bertindak mengharamkan Partai Syarikat Islam di Tanah Melayu, namun cahaya Islam tidak boleh dipadamkan apabila peranan itu disambung dengan penubuhan Hizbul Muslimin dan seterusnya Persatuan Islam Se-Tanah Melayu yang dinamakan dengan nama Parti Islam Se-Malaysia pada hari ini.

Kesamaan itu juga menurutnya, adalah hasil gerakan tajdid yang melahirkan kumpulan Islam di seluruh pelusuk dunia seperti gerakan Ikhwanul Muslimin di Asia Barat, Jamaat Islami di benua India dan Partai Masyumi di Indonesia.

“Peranan utama penubuhan PAS adalah mengembalikan kedaulatan Islam dan menyelamatkan seluruh manusia terutamanya di zaman yang kini gagalnya ideologi ciptaan manusia.

“Manusia menyaksikan di abad lalu keruntuhan komunisma yang menumbangkan Soviet Union, kuasa besar dunia yang dianggap hebat, paling luas wilayah dan kuasanya hancur berkecai. Hari ini tanda-tanda kiamat kemusnahan liberal kapitalisma berlaku di negara Barat, bukan sahaja keruntuhan moral dan nilai kemanusiaan, termasuk keruntuhan ekonomi dan politik.

“Terserlah tanda-tanda kemusnahan mereka puncanya ialah kerana ajaran tersebut tidak memenuhi ciri-ciri fitrah manusia, naluri manusia, ajaran yang tidak ada roh, iman kepada Allah dan hari akhirat, tidak ada perhitungan dosa dan pahala, menjadikan manusia tidak boleh dikawal sifat-sifat fitrah mereka,” syarahnya.

Tegas Ustaz Abdul Hadi, PAS menghasilkan suatu matlamat jelas dan nyata untuk mendirikan sebuah pemerintahan yang melaksanakan di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukum menurut keredaan Allah.

Perlembagaan PAS ujar beliau, bukan sekadar mewarisi sistem pemerintahan yang diajar oleh Rasulullah SAW, bahkan PAS telah meletakkan perjuangannya mestilah menjadi alternatif kepada sistem pemerintahan warisan penjajah.

Katanya, terbukti penjajah telah meninggalkan masalah kepada seluruh negara bekas jajahan walaupun berpuluh-puluh tahun mencapai kemerdekaan apabila seluruh negara bekas jajahan kekal di tahap negara miskin.

“Ini menunjukkan selagi kita tidak boleh membebaskan diri dari belengu penjajahan dengan cara yang menyeluruh, kita tidak mencapai kemerdekaan yang sebenarnya,” ujar Tuan Guru.


Saturday, October 1, 2011

Hudud Tetap Akan di Laksana!


KOTA BHARU – Pas Kelantan tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hukum hudud walaupun tidak mendapat kerjasama komponen Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, hasrat itu selaras dengan matlamat Pas sejak 21 tahun lalu.

Katanya, Pas Kelantan bersedia bila-bila masa untuk melaksanakannya, malah Mahkamah Syariah negeri melalui Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad turut menyatakan persediaan untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

Beliau berkata, peluang perlu diberikan kepada Pas Kelantan untuk mempraktikkan undang-undang Islam berkenaan dan dengan cara itu boleh dilihat sama ada berjaya atau sebaliknya.
“Hasrat Pas (Kelantan) melaksanakan hukum hudud tidak berubah, tetapi kami tidak memaksa masyarakat menerimanya. Sebab itu kami mengadakan ceramah dan kempen kepada masyarakat untuk memahami hudud.

“Kita tidak boleh lari… kita perjelaskan isu ini dan kenapa Pas Kelantan hendak sangat laksanakan hudud. Pertama kerana ia isu agama dan keduanya kebaikan pelaksanaan hukum itu sendiri yang kita mahukan,” katanya kepada media, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Majlis Pimpinan PR tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti yang dicadangkan Pas kerana tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan berkata, undang-undang moden gagal mengatasi kes-kes jenayah yang berlaku selama ini.

“Kita bukan nak bergaduh, cuma laksana hudud adalah pendirian kita dan matlamat kewujudan Pas di Kelantan untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh dan salah satunya hudud ini.

“Undang-undang hudud sudah diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan tidak perlu ma suk dewan lagi, cuma ia akan dibentuk oleh mahkamah dan pihak berkuasa agama,” katanya.
Mohd Amar berkata, terdapat beberapa pandangan yang menyatakan Kelantan tidak memerlukan kebenaran Kerajaan Pusat kerana hal berkaitan agama adalah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, terdapat juga pandangan hukum hudud perlu dibawa ke Parlimen mengikut Perkara 9 bidang kuasa negeri.

Katanya, apa yang penting Kerajaan Negeri sudah melepasi tahap pertama iaitu mendapat kelulusan Dun dan seterusnya pemahaman berterusan akan diberikan kepada masyarakat contohnya melalui sambutan Hari Hududullah Kelantan.


*****************

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, PAS berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang tersebut.

Dalam satu kenyataan menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan kini, sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.

Menurutnya, perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.

"PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," katanya.

Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS:

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
30 September 2011

Tuesday, September 20, 2011

Hudud ; Pencegahan dan Pendidikan, Bukan Hukuman!


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (13) وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُهِينٌ (14)- النساء: 13-14

Yang bermaksud : Itulah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina. – Surah Al-Nisa’, ayat 13-14

  • Yang Berhormat Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan,
  • Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri
  • Yang Amat Arif Dato’ Hakim Mahkamah Tinggi,
  • Yang Berhormat Sahibul Samahah Dato’ Mufti Kerajaan Negeri,
  • Yang Berhormat Dato’ Pengerusi Pembangunan Islam, Pendidikan Dan Dakwah Negeri Kelantan
  • Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
  • Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri Dan Dewan Rakyat,
  • Yang Berhormat Dato’ Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan,
  • Ketua-ketua Jabatan, Tengku-tengku, Dato’-dato’, Datin-datin, Tuan-tuan, Puan-puan, sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi lafaz syukur kita rakamkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat dan keizinan daripadaNya, dapat kita bersama-sama berada di dalam Majlis perasmian sambutan Hari Hududulullah negeri Kelantan darul naim untuk kali ini. Tahniah saya ucapkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan di atas penganjuran sambutan ini. Saya difahamkan tema untuk sambutan Hari Hududullah pada tahun ini ialah ““Hudud Satu Pencegahan dan Pendidikan, Bukan Hukuman”.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.

Di dalam al-Quran, perkataan hudud disebut sebanyak 11 kali di dalam 7 ayat yang dirangkumi di dalam 5 surah yang berlainan. Daripada 7 ayat tersebut, satu daripadanya membicarakan tentang hukum hakam puasa, tiga ayat daripadanya membicarakan tentang hukum cerai dan iddah, satu ayat membicarakan tentang hukum faraid atau pembahagian harta pusaka iaitu ayat yang saya bacakan di awal ucapan tadi, satu ayat menceritakan sikap orang-orang munafik yang suka melanggar hudud Allah dan satu ayat lagi membicarakan tentang hukum zihar.

Penelitian terhadap ayat-ayat ini memberikan kefahaman kepada kita bahawa hudud bukanlah bermaksud hukuman ke atas penjenayah terhadap kesalahan-kesalahan seperti mencuri, berzina dan minum arak sahaja, tetapi lebih luas lagi ia mencangkupi semua batasan syariat yang ditentukan oleh Allah SWT. Justeru, menjadi satu silap faham yang sangat dikesalkan apabila disebut hudud, ia digambarkan sebagai satu hukuman yang kejam terhadap pesalah dan dilabel sebagai primitif serta ketinggalan zaman. Sedangkan setiap pekara yang dibatasi oleh syariat dengan hukum halal dan haram dalam urusan hidup manusia turut disebut hudud Allah.

Contohnya makan minum, dihalalkan oleh Allah SWT tetapi memakan perkara yang haram dikira melanggar hudud Allah. Melunaskan tuntutan fitrah manusia untuk berpasangan dibenarkan oleh Allah SWT melalui ikatan perkahwinan dan diharamkan jika dilakukan melalui hubungan zina dan ia dianggap melanggar hudud Allah. Kesimpulannya, setiap perkara yang haram melanggar perintah Allah SWT dianggap sebagai melanggar hudud Allah SWT. Rasulullah SAW mengumpamakan perbuatan melakukan perkara yang haram ini seperti menceroboh tanah larangan milik Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW :

أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلَا إِنَّ حِمَى اللَّهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Yang bermaksud :

Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya larangan Allah di bumiNya adalah hal-hal yang diharamkanNya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging, apabila daging itu baik maka seluruh tubuh itu baik. Dan apabila daging itu rosak maka seluruh tubuh itupun rusak. Ketahuilah, itulah qalb.­ – Hadis riwayat Bukhari.

Hadirin yang dikasihi sekalian.

Saya menyebut hakikat ini kerana kekeliruan yang timbul atau sengaja ditimbulkan di dalam negara kita bahawa hudud ertinya hukuman ke atas pesalah. Justeru, hudud diwajahkan dengan wajah yang begitu buruk dan mengerikan. Seolah-olah apabila hukum hudud dilaksanakan, semua tangan akan dipotong dan semua batu akan dijadikan lontaran untuk pesalah. Kita masih terngiang-ngiang kata-kata sinis yang dilontarkan sedikit masa lalu yang menyatakan “Jika mahu menikmati sup tangan, silalah ke Kelantan’ dan “akan habislah batu-batu di Kelantan digunakan untuk melontar pesalah zina..”. Sekalipun ia sudah lama diucapkan, tetapi hakikatnya kata-kata dan ucapan seperti inilah yang memberikan imej yang negatif terhadap undang-undang hudud yang merupakah hak Allah SWT untuk dilaksanakan di bumi ini.

Hasilnya, masyarakat bukannya semakin dekat dengan Islam tetapi semakin jahil dan semakin jauh daripada syariat Islam yang sebenar. Syariat Islam bukannya dilihat indah dam cantik, tetapi dilihat primitif, ketinggalan zaman, ouf of date dan sebagainya. Tanggapan seperti ini bukan sahaja berlegar di kalangan non muslim bahkan masyarakat umat Islam sendiri masih keliru di dalam memahami keindahan syariat Islam yang sebenar.

Kekeliruan dan kejahilan ini bertambah parah apabila beberapa isu agama yang berlaku sejak akhir-akhir ini tidak ditangani sebagaimana yang diajar oleh agama yang natijahnya mengakibatkan Islam semakin dipandang serong oleh masyarakat. Isu-isu seperti larangan non muslim memasuki masjid dan juga bacaan al-Quran di pembesar suara misalnya, ditangani dengan wajah yang lebih cenderung ke arah sentimen tanpa bimbingan ilmu yang sebenar. Hasilnya, sentiment yang dibakar bertambah panas sedangkan panduan sebenar Islam diketepikan.

Saya sifatkan golongan yang menolak, menghina dan mengenepikan syariat Islam khususnya hudud merupakan golongan yang jahil dan tidak mengetahui keindahan syariat Islam itu sendiri. Sekalipun mungkin mereka beragama Islam, tetapi Islam yang dianuti hanya di ruang yang terbatas tanpa didaulatkan sebagai undang-undang yang memerintah. Hakikatnya, menolak undang-undang syariah samalah ertinya dengan menafikan kebijaksanaan Allah SWT selaku Pentadbir ala mini. Kalaulah seorang warganegara yang berani mengkritik undang-undang negaranya sendiri boleh dianggap sebagai menghina dan mempersendakan undang-undang tersebut, maka lebih besar kesalahannya jika seorang Islam berani mengkritik undang-undang Islam sebagai ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan masa, orang ini bukan sahaja mencabar kebijaksanaan dan kekuasaan Allah S.W.T, tetapi boleh menjejaskan imannya sebagai seorang muslim.

Saya yakin, sebahagian besar daripada masalah ini ialah kerana kejahilan terhadap keindahan undang-undang Islam itu sendiri. Justeru, Kelantan mengambil inisiatif untuk mengadakan sambutan Hari Hududullah setiap tahun dan pada tahun ini pula diadakan seminar undang-undang syariah peringkat kebangsaan untuk memberikan pendedahan dari masa ke semasa kepada masyarakat agar apabila tiba saat dan masanya yang membolehkan hudud dilaksanakan, ia akan dilaksanakan dengan penerimaan dan kefahaman daripada masyarakat yang sudah terdidik dengan maklumat-maklumat yang benar. Saya optimis, jika wajah sebenar undang-undang syariah didedahkan, tidak akan ada suara-suara sumbang yang menolak pelaksanaannya nanti. Kata cerdik pandai tidak kenal maka tidak cinta.

Justeru, besarlah harapan saya agar seminar-seminat ini dapat dilaksanakan dari masa ke semasa dan juga turut dibuka penyertannya kepada sahabat-sahabat dari masyarakat non muslim untuk datang mendengar dan mengemukakan persoalan agar setiap kemusykilan dapat dijawab oleh para ilmuan bukannya diperdebatkan di dada-dada akhbar yang kadang-kadan lebih bersifat bias politik semata-mata.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang menyokong segala usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam mempertingkatkan syiar Islam di bumi ini. Saya juga menyeru kepada semua jabatan kerajaan sama ada negeri atau pesekutuan agar sama-sama bertanggungjawab dalam meningkatkan kualiti Iman, menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran dengan cara masing-masing. Mudah-mudahan kehidupan kita semua ini akan mendapat ihsan dan keberkatan dariNya.

Firman Allah SWT :

ولْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya". –Surah Ali Imran, ayat 104.

Saya juga ingin tegaskan bahawa hukum hudud ini jika dilaksanakan bukannya dipelopori oleh orang politik. Tetapi hakim yang akan menjatuhkan hukuman. Itupun akan menjalani perbicaraan yang adil terlebih dahulu. Jadi tidak perlu untuk merasa gerun dan takut dengan hukum hudud kerana bimbang kononnya akan dikuasai oleh orang politik.

Justeru, saya mengharapkan agar tabiat menolak hudud ini dapat diperbetulkan agar jangan menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat.Jika gejala penolakan ini tidak dibendung, saya bimbang menjadi satu trend yang sebenarnya membawa kesan yang tidak baik terhadap akidah umat Islam. Jangan merasakan ini sebagai satu isu yang mudah kerana mempertikaikan hukum hudud sebenarnya mempertikaikan Allah SWT.

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Dengan lafaz :

أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


TEKS UCAPAN

YANG AMAT BERHORMAT TUAN GURU DATUK BENTARA SETIA

MENTERI BESAR KELANTAN

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI HUDUDULLAH

NEGERI KELANTAN

PADA : 22 SYAWWAL 1432H / 20 SEPTEMBER 2011M

BERTEMPAT DI DEWAN BESAR BALAI ISLAM, LUNDANG

KOTA BHARU, KELANTAN

JAM : 10.30 TENGAH HARI

Friday, September 2, 2011

Nabi Pun Penderhaka?


Ketua penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, manusia perlu jujur dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis kerana isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat amat berkait rapat dengan asas sesuatu isu berkenaan.

NONE“Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji dan menafsir semua fakta sejarah. Cakaplah benar, walaupun ia pahit,” kata beliau dalam satu kenyataan mengulas isu ceramah timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang didakwa diputarbelitkan oleh media arus perdana.

Pada 27 Ogos lalu, akhbar milik Umno, Utusan Malaysia mendakwa pemimpin kanan PAS itu berkata pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.

Kenyataan itu mengundang pelbagai kecaman daripada pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Tuan Ibrahim sekiranya tafsiran sejarah dibuat secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi suatu-suatu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu era.

NONE"Apakah British dan konconya yang telah menjajah negara ini dianggap kita sebagai hero ataupun penjajah?

“Kaitannya adalah kerana kalau negara terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang penjajah akan dianggap sebagai hero.

"Inilah yang terjadi kepada penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya. Mereka ini bangun mengajak rakyat menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan pejuang,” kata Tuan Ibrahim.

Hero atau pengkhianat?

Utusan dalam laporannya juga mendakwa Mohamad Sabu sebagai berkata Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis di Bukit Kepong itu.

mingguan malaysia 280811 mat sabu dikecamSelain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Tuan Ibrahim berkata bahawa kedudukan dan jasa Onn, Tunku dan lain-lain sebagai nasionalis sehingga berjaya merundingkan kemerdekaan negara pada 1957 walaupun mereka pernah menjadi pegawai British tidak perlu dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali dipersoalkan dalam tafsiran sejarah.

“Namun jika hanya merujuk kepada tahun 1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan kerajaannya pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun pengkhianat?” soal beliau.

"Disebabkan pada zaman British menjajah negara kita, British telah berjaya memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka, namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam kerajaan,” katanya.

malaysia indepence merdeka tunku abdul rahman declare 290806Justeru, menurut Tuan Ibrahim, kini, timbul satu tafsiran baru daripada segi sudut sejarah.

“Kita harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang - ada yang menyertai PKMM, PKM dan lain-lain - semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah British,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga adalah Pesuruhjaya PAS Pahang, atas penilaian itu, rakyat perlu menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang yang pernah bangkit melawan penjajah British sebagai hero.

Penakulan mantik

“Jikalau itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?” soalnya.

“Jika dua-dua pula jadi hero, siapa yang jadi pengkhianatnya? Takkan semua hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat? Jadi landasan mana dalam tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah persoalannya.”

communist insurgents in malaya 240609Katanya, secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam-putih, kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah pengkhianat.

"Yang menyusahkan dan melawan arus penakulan mantiknya sekarang ialah apabila ada pihak yang hendak menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini juga sebagai hero,” katanya lagi.

Dalam menafsir sejarah secara jujur, Tuan Ibrahim berpendapat bahawa semua kumpulan yang menentang penjajah waktu itu (1950) yang bertujuan menghalau penjajah walau di atas landasan mana mereka berjuang sekalipun, perlu dianggap sebagai wira.

Namun demikian, menurutnya, beliau tidak boleh menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya “menghalau penjajah” – namun apa yang pasti, 'menghalau penjajah' merupakan 'common goal' yang pertama golongan ini pada waktu itu walaupun mimpi mereka lain-lain.

“Pada tahun 1950, adakah pihak komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum lagi Merdeka, yang ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang dilihat bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah Melayu.

NONE“Selepas Merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang habis-habisan. Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh berbeza situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British.

Sokong komunis

"Oleh itu, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.

“Kita harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia tidak sama dengan realiti selepas Merdeka sebagaimana yang ditegaskan, bahawa tidak boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri selepas menghalau penjajah,” katanya.

NONETuan Ibrahim kemudiannya secara panjang lebar menghuraikan kontroversi yang sama yang timbul pada sejarah tanahair iaitu di zaman peralihan antara Jepun dan British.

Katanya, ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun melawan British atau kekal menyokong British.

“Nyata yang selamat dari kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun menentang atas nama jihad seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Janggut kerana mereka pastinya hero di dunia dan akhirat.

"Inilah pengajaran besar dari sejarah lampau agar kita jangan mengulangi kesilapan lalu. Professor Khoo Kay Kim mungkin tersenyum dengan polemik baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini,” sindirnya.

Mohamad pada sidang akhbarnya di Perlis Isnin lalu berkata kenyataannya telah diputarbelitkan dan mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar milik Umno itu berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.


Wednesday, August 17, 2011

Perkauman dan Pertembungan Agama : Benteng Terakhir UMNO dan ISMA

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEglVjmn7NW72Is0IFekryURcXxMcV5lKWAdxMHK0mYE4yHWdLY1pahvr6jEKz1ibGhgULXVHLvrF0OS5vpgcArjBqXg6cELWSQkEJKFI83dMaHzTxk8qrVUTQOFrLPgVq9HJtHbfc6DUAdH/s1600/ipu.jpg
ISMA, PERKASA dan UMNO..Tiga serangkai di UTUSAN

Selagi boleh, saya tidak mahu menyemarakkan pertembungan politik sepanjang bulan Ramadhan. Saya kira waktu yang amat bernilai ini amat sesuai digunakan untuk berzikir, membaca al-Quran dan menghayati maknanya sesuai dengan kemuliaan Ramadhan. Namun, mengambil kira bahawa nama saya disebut berulang kali oleh media massa milik UMNO hari ini (16 Ogos 2011), saya ringankan tangan saya untuk menulis sedikit jawapan untuk tatapan masyarakat.

Saya mengira, UMNO sewajarnya tidak memainkan isu larangan bacaan al-Quran melalui pembesar suara ini kerana larangan menggunakan pembesar suara di Pulau Pinang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh DAP. Bagi saya, tidak munasabah UMNO mahu ‘mencari balah’ dengan Mufti dalam isu yang tidak ada kepentingan politik. Tapi nampaknya, sangkaan saya agak tersasar. UMNO yang saya lihat sudah sampai saat kejatuhannya barangkali akan cuba berpaut dengan apa jua dahan untuk mengelakkannya daripada jatuh terhempas dan patah tulang. Isu yang langsung tiada kaitan dengan kerajaan negeri dipolitikkan. Barangkali, jika tiba-tiba terjaga di tengah malam sekalipun, perkataan yang akan terpancul keluar ialah ‘DAP!’ Dalam isu ini, saya bukan menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi saya menyokong pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang. Buta maklumatkah golongan ini?

Isu ini sebenarnya sengaja dipolitikkan sehingga menjadi polemik. Saya ingin bertanya kepada UMNO, sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini? Sebelum tangan menggapai ke atas, lihat dahulu lantai berpijak. Dasar UMNO sendiri ialah kebangsaan dan sekular. Islam tidak pernah ada dalam agenda perjuangan UMNO. Justeru, apabila kerajaan Melaka melanjutkan tempoh pusat hiburan beberapa bulan lepas, tidak ada sebarang suara yang menentang daripada UMNO. Ada pula yang sibuk mahu menggantikan PAS sebagai pembela Islam. Saya kira, ini sebenarnya satu pengiktirafan terhadap PAS yang telah berjuang sekian lama membela Islam. Barangkali pihak ini ‘tidak tergamak’ untuk menggantikan UMNO untuk memperjuangkan Islam. Masakan tidak, bila pula pernah UMNO berjuang untuk Islam?

Sesungguhnya Islam itu indah kerana ia diakui sendiri oleh Allah SWT sebagai rahmat. Tetapi sayangnya cara UMNO mempersembahkan Islam pada hari ini, saya lihat ia menggerunkan masyarakat bukan Islam. Apa yang tidak diajar oleh Islam, itulah yang diperbesarkan oleh UMNO. Manakala apa yang benar-benar termaktub ditidakkan. Bacaan al-Quran di pembesar suara sebelum solat Subuh bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam, jika ia terbukti menganggu dan ada aduan, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan pandangan. Di Kelantan dengan kebanyakan masyarakatnya muslim mungkin tidak mengira ini sebagai satu masalah, tetapi di Pulau Pinang mungkin keadaannya berbeza. Rasulullah SAW sendiri pernah melarang seorang sahabat yang mengangkat suara di dalam masjid untuk berzikir sehingga mengganggu orang lain. Ini disebut di dalam sebuah hadis :

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ أَوْ قَالَ فِي الصَّلَاةِ

Yang bermaksud : “"Pernah Nabi Muhammad SAW beriktikaf dalam masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran atau solat) lalu baginda mengangkat tirai dan bersabda: "Ketahuilah sesungguhnya setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan sebahagian kamu mengangkat suara melebihi sebahagian yang lain dalam bacaan, atau sabdanya: dalam solat". – Riwayat Abu Daud.

Bahkan ini pernah ditegur oleh Ibnu al-Jauzi di dalam kitabnya Talbis Iblis. Katanya :

وقد لبس إبليس على قوم من القراء فهم يقرأون القرآن في منارة المسجد بالليل بالأصوات المجتمعة المرتفعة الجزء والجزأين فيجمعون بين أذى الناس في منعهم من النوم وبين التعرض للرياء. ومنهم من يقرأ في مسجده وقت الأذان لأنه حين اجتماع الناس في المسجد.

Yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Iblis telah mengaburi terhadap satu golongan dari pembaca al-Quran di mana mereka membaca al-Quran di mimbar-mimbar masjid pada waktu malam dengan suara beramai-ramai yang kuat samada satu juzuk atau dua juzuk lalu mereka telah mengumpulkan di antara menyakiti manusia dengan menghalang mereka daripada tidur dan mendedahkan diri kepada riya’. Dan ada di antara mereka yang membaca al-Quran di masjidnya pada waktu azan kerana pada waktu itulah manusia berkumpul di masjid…” – halaman 3, kitab Talbis Iblis, cetakan pertama 1405H terbitan Darul Kitab al-Arabi, Beirut.

Tidaklah saya ingin memutlakkan pandangan Ibnu Qayyim ini agar diterima semua pihak. Tetapi sekurang-kurangnya sudah ada pandangan dari ulama terdahulu yang menegah untuk dibaca al-Quran dengan kuat di masjid kerana dibimbangi mengganggu tidur masyarakat sekitar. Jika terbukti tidak mengganggu, tidaklah menjadi halangan. Justeru, ia terpulang kepada keadaan setempat dan situasi semasa masyarakat.

Hairannya, judi yang benar-benar dilarang oleh Islam pula nampaknya tidak diendahkan pula oleh UMNO. Di Kelantan, kami disaman oleh MCA kerana menghalang premis judi daripada beroperasi dan kes ini sedang disebut di mahkamah. Saya tertanya-tanya, di mana perwira-perwira UMNO dalam isu ini? Atau tiba-tiba keris telanjang Ketuanan Melayu menjadi tumpul bila berdepan dengan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional.

Saya menyeru kepada UMNO, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam. Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi. Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi. Sayangnya, saya lihat UMNO sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa. Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana. UMNO mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara. Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam.

Ingatlah, dalam mengendalikan sebarang isu, ambillah pertimbangan kemuliaan bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang. Jangan dibiarkan lidah berbicara sesuatu yang sudah diketahui pembohongannya kerana dibimbangi ia hanya menggandakan dosa di sisi Allah SWT kerana menodai kesucian Ramadhan. Dan biarlah ia juga boleh menjadi jawapan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.


YAB DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 16 Ramadhan 1432H / 16 Ogos 2011M

Monday, August 8, 2011

Apa Beza Sogokan UMNO dan Sogokan Kristian?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhO3VN7e-4ccs3x1UFMn1bHbsM80HFFUtOvDmwu-KiqezOLZoX5BxtCXNXqOaJ3YmxDB0h0upcHycY2aYEwpajlpW7NCmuV6XHlKImTsXOiOkQctpx5uGVnLwkn-yt0gwLIEP6xCecDNVs5/s1600/tgna9.jpg

Dalam sehari dua ini, tidak ada cerita yang lebih panas melainkan isu serbuan gereja di Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Ruang-ruang media massa eletronik dan cetak digunakan sepenuhnya untuk menghebohkan cerita serbuan ini. Hilang sudah kisah penduduk tetap yang diberikan kerakyatan segera, dan barangkali juga turut hilang cerita saya dicabar untuk menafikan pertemuan dengan pihak tertentu untuk dilantik sebagai ketua Pakatan Rakyat. Selepas saya menyahut cabaran, tidak terlintas pula di dada akhbar orang yang mencabar saya. Jika sibuk beribadah di bulan Ramadhan, saya ucapkan tahniah.

Apapun, isu serbuan di gereja ini dihebohkan dengan kononnya ada orang-orang Islam yang diberikan habuan untuk menukar aqidah dan murtad dari agama. Soal benar atau tidak, saya serahkan kepada pihak berkenaan untuk melakukan siasatan. Namun, cerita manusia disogok wang ini bukan baru. Bahkan jika disebut tentang kepakaran menyogok wang ini, saya kira ada pihak lain yang lebih mahir dari pihak yang disebut-sebut itu. Cuma barangkali yang disebut-sebut sekarang ialah gereja dan pihak Kristian, sedangkan yang lebih hebat bermain wang dan sogokan seolah-olah tidak bersalah.

Hakikatnya, UMNO sudah lama bermain dengan sogokan ini. Bukankah setiap kali pilihanraya, rakyat disogok dengan pelbagai sogokan untuk mengundi parti mereka? Projek-projek mee segera diumumkan serta merta di kawasan di mana berlakunya pilihanraya kecil, apa namanya ini jika bukan sogokan? Sogokan tidak semestinya dalam bentuk wang yang diberikan di gereja. Sogokan juga boleh datang dalam bentuk projek mee segera. Itu belum dikira penggunaan wang secara berleluasa menjelangnya pilihanraya. Justeru, jika media massa milik UMNO sibuk menghebohkan soal gereja memberikan sogokan, saya kira mereka patut malu dengan diri mereka sendiri yang sudah bergelumang dengan jenayah moral ini begitu lama.

Perlulah diingat, Islam tidak tertegak dengan sogokan wang. Para sahabat yang mendaftar masuk sebagai muslim di zaman Rasulullah SAW tidak pernah terpaut kerana sogokan wang. Mereka datang kerana keyakinan mereka bahawa Islam itu benar. Bahkan Rasulullah SAW sendiri tidak dilantik dari kalangan orang-orang kaya dan berada untuk membersihkan Islam dari pengaruh kekayaan dan harta baginda. Baginda dipilih dari kalangan anak yatim dan bertugas pula sebagai pembela kambing sebelum dilantik menjadi Nabi. Ertinya, bukan pengaruh kekayaan dan pangkat baginda yang menarik manusia untuk memeluk Islam, tetapi akhlak, peribadi dan kebenaran Islam itu sendiri. Inilah yang disebut oleh isteri baginda, Khadijah Radhiallahu anha sewaktu memujuk suaminya itu yang sedang ketakutan selepas menerima wahyu yang pertama :

لا،أبشر، فوالله لا يخزيك الله أبدا؛ إنك لتصل الرحم، وتصدق الحديث، وتحمل الكل،وتقري الضيف، وتعين على نوائب الحق

Yang bermaksud : “Tidak, bergembiralah, demi Allah kamu tidak akan ditakutkan oleh Allah selama-lamanya. Sesungguhnya kamu menyambung silaturrahm, benar dalam kata-kata, menepati timbangan, memuliakan tetamu dan menolong orang-orang yang berhak…” – Hadis riwayat Bukhari.

Itulah sifat-sifat Rasulullah SAW yang disebut oleh isterinya yang tidak ada satupun menyenaraikan suaminya itu sebagai seorang yang kaya dan berpangkat. Budi pekerti yang baik inilah yang menarik seterusnya mengikat manusia dengan akidah Islam. Bahkan sebelum kenabian baginda lagi, baginda digelar sebagai al-Amin (yang amanah) dan bukan al-Ghaniyy (kaya). Justeru, baginda tidak datang dengan habuan wang ringgit dan projek-projek pembangunan untuk menarik manusia sebagaimana yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Sedangkan inilah yang dipohon oleh orang-orang kafir yang sudah enggan beriman dengan baginda. Firman Allah SWT :

وقالوا لن نؤمن لك حتى تفجر لنا من الأرض ينبوعا ( 90 ) أو تكون لك جنة من نخيل وعنب فتفجر الأنهار خلالها تفجيرا ( 91 ) أو تسقط السماء كما زعمت علينا كسفا أو تأتي بالله والملائكة قبيلا ( 92 ) أو يكون لك بيت من زخرف أو ترقى في السماء ولن نؤمن لرقيك حتى تنزل علينا كتابا نقرؤه قل سبحان ربي هل كنت إلا بشرا رسولا ( 93

Yang bermaksud : Dan mereka berkata: "Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami, atau kamu mempunyai sebuah kebun korma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya, atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami. atau kamu mempunyai sebuah rumah dari emas, atau kamu naik ke langit. dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah Kitab yang kami baca". Katakanlah: "Maha Suci Tuhanku, bukankah Aku Ini Hanya seorang manusia yang menjadi rasul?" – Surah al-Israk, ayat 90-93

Adapun UMNO, sangat berbeza dengan pendekatan yang diajar oleh nabi. Wang ringgit digunakan sewenang-wenangnya untuk menyogok rakyat seolah-olah rakyat sudah menjadi bahan belian yang boleh ditukar ganti dengan nilai. Padahal ditetapkan umur 21 tahun untuk layak mengundi dengan tujuan supaya pengundi dapat menggunakan pertimbangan akal fikiran yang matang untuk memilih pemimpin. Lalu jika wang ringgit digunakan untuk membeli pertimbangan ini, apa gunanya ditetapkan umur 21 tahun?

Di Terengganu sewaktu Dato Seri Presiden PAS menjadi Menteri Besar, mereka sekat royalti minyak dan ditukar menjadi wang ihsan. Lalu wang ihsan inilah yang dijaja ke seluruh negeri untuk menyogok rakyat. Begitu juga di Kelantan hari ini, mereka menjaja wang ihsan yang asalnya merupakan royalti yang wajib dibayar. Diheboh pula bahawa Kelantan tidak akan membangun tanpa UMNO, tidak ubah seperti ayam jantan yang mendakwa matahari tidak akan naik jika ia tidak berkokok! Saya kira, apa yang UMNO lakukan di Kelantan dan Terengganu ini hakikatnya tidak kurang teruknya dengan apa yang didakwa dilakukan oleh gereja dan gerakan kristianisasi. Itupun jika berita yang disebarkan itu benar. Biasanya jika media UMNO yang berbicara, daripada 9 perkara yang disebut, 10 daripadanya hanyalah provokasi dan manipulasi maklumat!

Dari sudut yang lain, jika orang Melayu sudah begitu teruk sehingga akidah mereka mampu dibeli oleh gerakan Kristianisasi, manakah maruah UMNO yang selama ini sibuk berjuang menjaga Melayu dan Islam? Nampaknya Malaysia ini tidaklah makmur sangat di bawah kepimpinan UMNO sehingga akidah pun mampu dibeli dengan duit. Alhamdulillah, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang membentangkan statistik kes murtad beberapa bulan lepas daripada tahun 2000 sehingga tahun 2010, tidak ada satu pun kes yang terlibat di Kelantan.

Kesimpulannya, jika gerakan Kristianisasi itu teruk, maka UMNO pun tidak kurang teruknya!


YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia NIk Abdul Aziz bin Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 8 Ramadhan 1432H / 8 Ogos 2011M

Friday, August 5, 2011

Ramadhan Bulan Hidayah


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh67WioNO4kN5njzUGBDANw4ZYN7B1JE4hZHPKJjTwifvtAOB16lGV6MBkNRttvSwCZKyyLQJFgtN9wrW6E9rcchD7BFaTa7Sp3u6XxenvP1kkUEMxr_bBz4cmLlJioUmEF4n1FZe7LVlpS/s1600/tgna8.jpg

Firman Allah SWT :

ياأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa..” – Al-Baqarah, ayat 183

Alhamdulillah, sekali lagi tetamu mulia bernama Ramadhan menjenguk ke dalam ruang hidup kita. Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah SWT, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.

Sebagaimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.

Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Dan hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah SWT. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain.

Hidayah ialah satu benda yang tidak diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah. Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak pernah menyebut persoalan hidayah. Umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun.

Inilah silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini. Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah SWT. Di dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus. Firman Allah SWT :

اهدنا الصراط المستقيم

Yang bermaksud : “Tunjukilah kami jalan yang lurus..” – Surah al-Fatihah, ayat 6

Sekiranya hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan ini kepada Allah SWT berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah SWT. Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang mendapat nikmat yang besar. Firman Allah SWT :

صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين

Yang bermaksud : (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. – Surah al-Fatihah, ayat 7

Dan siapa pula orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah SWT :

مَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ

Yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya..” – Surah an-Nisa’, ayat 69

Selain memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan beramallah dengan kandungannya. Al-Quran ialah manual yang diturunkan Allah SWT untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana bumi ini diciptakan oleh Allah SWT dan manual penggunaannya hanya dikeluarkan oleh Allah SWT.

Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, syurga dan neraka. Ia umpama lampu suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah. Sebagaimana kita akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat, demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya. Lampu suluh kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di akhirat nanti. Mereka yang menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh Allah SWT. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam kubur dan kegelapan di hadapan Allah SWT kelak.

Bahayanya masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku manual hidup. Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet Union,ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan kemudharatan kepada Islam.

Bumi ini yang pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang pernah dicatat di dalam sejarah. Masjid-masjid cukup besar namun sunyi dari diimarahkan. Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur. Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan kehidupan.

Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah.

Apa yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut. Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk disemai semula.

Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk menyemarakkan al-Quran. Ibubapa berperanan di rumah, guru-guru di sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama dan insya-allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan.

Akhir kata, selamat menyambut Ramadhan. Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu.


YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.