Wednesday, August 17, 2011

Perkauman dan Pertembungan Agama : Benteng Terakhir UMNO dan ISMA

http://4.bp.blogspot.com/--0YKcZ0MTNg/TktjsPg6wMI/AAAAAAAABk8/3rFE3-vUnEU/s1600/ipu.jpg
ISMA, PERKASA dan UMNO..Tiga serangkai di UTUSAN

Selagi boleh, saya tidak mahu menyemarakkan pertembungan politik sepanjang bulan Ramadhan. Saya kira waktu yang amat bernilai ini amat sesuai digunakan untuk berzikir, membaca al-Quran dan menghayati maknanya sesuai dengan kemuliaan Ramadhan. Namun, mengambil kira bahawa nama saya disebut berulang kali oleh media massa milik UMNO hari ini (16 Ogos 2011), saya ringankan tangan saya untuk menulis sedikit jawapan untuk tatapan masyarakat.

Saya mengira, UMNO sewajarnya tidak memainkan isu larangan bacaan al-Quran melalui pembesar suara ini kerana larangan menggunakan pembesar suara di Pulau Pinang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh DAP. Bagi saya, tidak munasabah UMNO mahu ‘mencari balah’ dengan Mufti dalam isu yang tidak ada kepentingan politik. Tapi nampaknya, sangkaan saya agak tersasar. UMNO yang saya lihat sudah sampai saat kejatuhannya barangkali akan cuba berpaut dengan apa jua dahan untuk mengelakkannya daripada jatuh terhempas dan patah tulang. Isu yang langsung tiada kaitan dengan kerajaan negeri dipolitikkan. Barangkali, jika tiba-tiba terjaga di tengah malam sekalipun, perkataan yang akan terpancul keluar ialah ‘DAP!’ Dalam isu ini, saya bukan menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang, tetapi saya menyokong pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang. Buta maklumatkah golongan ini?

Isu ini sebenarnya sengaja dipolitikkan sehingga menjadi polemik. Saya ingin bertanya kepada UMNO, sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini? Sebelum tangan menggapai ke atas, lihat dahulu lantai berpijak. Dasar UMNO sendiri ialah kebangsaan dan sekular. Islam tidak pernah ada dalam agenda perjuangan UMNO. Justeru, apabila kerajaan Melaka melanjutkan tempoh pusat hiburan beberapa bulan lepas, tidak ada sebarang suara yang menentang daripada UMNO. Ada pula yang sibuk mahu menggantikan PAS sebagai pembela Islam. Saya kira, ini sebenarnya satu pengiktirafan terhadap PAS yang telah berjuang sekian lama membela Islam. Barangkali pihak ini ‘tidak tergamak’ untuk menggantikan UMNO untuk memperjuangkan Islam. Masakan tidak, bila pula pernah UMNO berjuang untuk Islam?

Sesungguhnya Islam itu indah kerana ia diakui sendiri oleh Allah SWT sebagai rahmat. Tetapi sayangnya cara UMNO mempersembahkan Islam pada hari ini, saya lihat ia menggerunkan masyarakat bukan Islam. Apa yang tidak diajar oleh Islam, itulah yang diperbesarkan oleh UMNO. Manakala apa yang benar-benar termaktub ditidakkan. Bacaan al-Quran di pembesar suara sebelum solat Subuh bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam, jika ia terbukti menganggu dan ada aduan, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan pandangan. Di Kelantan dengan kebanyakan masyarakatnya muslim mungkin tidak mengira ini sebagai satu masalah, tetapi di Pulau Pinang mungkin keadaannya berbeza. Rasulullah SAW sendiri pernah melarang seorang sahabat yang mengangkat suara di dalam masjid untuk berzikir sehingga mengganggu orang lain. Ini disebut di dalam sebuah hadis :

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ أَوْ قَالَ فِي الصَّلَاةِ

Yang bermaksud : “"Pernah Nabi Muhammad SAW beriktikaf dalam masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran atau solat) lalu baginda mengangkat tirai dan bersabda: "Ketahuilah sesungguhnya setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan sebahagian kamu mengangkat suara melebihi sebahagian yang lain dalam bacaan, atau sabdanya: dalam solat". – Riwayat Abu Daud.

Bahkan ini pernah ditegur oleh Ibnu al-Jauzi di dalam kitabnya Talbis Iblis. Katanya :

وقد لبس إبليس على قوم من القراء فهم يقرأون القرآن في منارة المسجد بالليل بالأصوات المجتمعة المرتفعة الجزء والجزأين فيجمعون بين أذى الناس في منعهم من النوم وبين التعرض للرياء. ومنهم من يقرأ في مسجده وقت الأذان لأنه حين اجتماع الناس في المسجد.

Yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Iblis telah mengaburi terhadap satu golongan dari pembaca al-Quran di mana mereka membaca al-Quran di mimbar-mimbar masjid pada waktu malam dengan suara beramai-ramai yang kuat samada satu juzuk atau dua juzuk lalu mereka telah mengumpulkan di antara menyakiti manusia dengan menghalang mereka daripada tidur dan mendedahkan diri kepada riya’. Dan ada di antara mereka yang membaca al-Quran di masjidnya pada waktu azan kerana pada waktu itulah manusia berkumpul di masjid…” – halaman 3, kitab Talbis Iblis, cetakan pertama 1405H terbitan Darul Kitab al-Arabi, Beirut.

Tidaklah saya ingin memutlakkan pandangan Ibnu Qayyim ini agar diterima semua pihak. Tetapi sekurang-kurangnya sudah ada pandangan dari ulama terdahulu yang menegah untuk dibaca al-Quran dengan kuat di masjid kerana dibimbangi mengganggu tidur masyarakat sekitar. Jika terbukti tidak mengganggu, tidaklah menjadi halangan. Justeru, ia terpulang kepada keadaan setempat dan situasi semasa masyarakat.

Hairannya, judi yang benar-benar dilarang oleh Islam pula nampaknya tidak diendahkan pula oleh UMNO. Di Kelantan, kami disaman oleh MCA kerana menghalang premis judi daripada beroperasi dan kes ini sedang disebut di mahkamah. Saya tertanya-tanya, di mana perwira-perwira UMNO dalam isu ini? Atau tiba-tiba keris telanjang Ketuanan Melayu menjadi tumpul bila berdepan dengan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional.

Saya menyeru kepada UMNO, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam. Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi. Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi. Sayangnya, saya lihat UMNO sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa. Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana. UMNO mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara. Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam.

Ingatlah, dalam mengendalikan sebarang isu, ambillah pertimbangan kemuliaan bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang. Jangan dibiarkan lidah berbicara sesuatu yang sudah diketahui pembohongannya kerana dibimbangi ia hanya menggandakan dosa di sisi Allah SWT kerana menodai kesucian Ramadhan. Dan biarlah ia juga boleh menjadi jawapan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.


YAB DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 16 Ramadhan 1432H / 16 Ogos 2011M

Monday, August 8, 2011

Apa Beza Sogokan UMNO dan Sogokan Kristian?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhO3VN7e-4ccs3x1UFMn1bHbsM80HFFUtOvDmwu-KiqezOLZoX5BxtCXNXqOaJ3YmxDB0h0upcHycY2aYEwpajlpW7NCmuV6XHlKImTsXOiOkQctpx5uGVnLwkn-yt0gwLIEP6xCecDNVs5/s1600/tgna9.jpg

Dalam sehari dua ini, tidak ada cerita yang lebih panas melainkan isu serbuan gereja di Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Ruang-ruang media massa eletronik dan cetak digunakan sepenuhnya untuk menghebohkan cerita serbuan ini. Hilang sudah kisah penduduk tetap yang diberikan kerakyatan segera, dan barangkali juga turut hilang cerita saya dicabar untuk menafikan pertemuan dengan pihak tertentu untuk dilantik sebagai ketua Pakatan Rakyat. Selepas saya menyahut cabaran, tidak terlintas pula di dada akhbar orang yang mencabar saya. Jika sibuk beribadah di bulan Ramadhan, saya ucapkan tahniah.

Apapun, isu serbuan di gereja ini dihebohkan dengan kononnya ada orang-orang Islam yang diberikan habuan untuk menukar aqidah dan murtad dari agama. Soal benar atau tidak, saya serahkan kepada pihak berkenaan untuk melakukan siasatan. Namun, cerita manusia disogok wang ini bukan baru. Bahkan jika disebut tentang kepakaran menyogok wang ini, saya kira ada pihak lain yang lebih mahir dari pihak yang disebut-sebut itu. Cuma barangkali yang disebut-sebut sekarang ialah gereja dan pihak Kristian, sedangkan yang lebih hebat bermain wang dan sogokan seolah-olah tidak bersalah.

Hakikatnya, UMNO sudah lama bermain dengan sogokan ini. Bukankah setiap kali pilihanraya, rakyat disogok dengan pelbagai sogokan untuk mengundi parti mereka? Projek-projek mee segera diumumkan serta merta di kawasan di mana berlakunya pilihanraya kecil, apa namanya ini jika bukan sogokan? Sogokan tidak semestinya dalam bentuk wang yang diberikan di gereja. Sogokan juga boleh datang dalam bentuk projek mee segera. Itu belum dikira penggunaan wang secara berleluasa menjelangnya pilihanraya. Justeru, jika media massa milik UMNO sibuk menghebohkan soal gereja memberikan sogokan, saya kira mereka patut malu dengan diri mereka sendiri yang sudah bergelumang dengan jenayah moral ini begitu lama.

Perlulah diingat, Islam tidak tertegak dengan sogokan wang. Para sahabat yang mendaftar masuk sebagai muslim di zaman Rasulullah SAW tidak pernah terpaut kerana sogokan wang. Mereka datang kerana keyakinan mereka bahawa Islam itu benar. Bahkan Rasulullah SAW sendiri tidak dilantik dari kalangan orang-orang kaya dan berada untuk membersihkan Islam dari pengaruh kekayaan dan harta baginda. Baginda dipilih dari kalangan anak yatim dan bertugas pula sebagai pembela kambing sebelum dilantik menjadi Nabi. Ertinya, bukan pengaruh kekayaan dan pangkat baginda yang menarik manusia untuk memeluk Islam, tetapi akhlak, peribadi dan kebenaran Islam itu sendiri. Inilah yang disebut oleh isteri baginda, Khadijah Radhiallahu anha sewaktu memujuk suaminya itu yang sedang ketakutan selepas menerima wahyu yang pertama :

لا،أبشر، فوالله لا يخزيك الله أبدا؛ إنك لتصل الرحم، وتصدق الحديث، وتحمل الكل،وتقري الضيف، وتعين على نوائب الحق

Yang bermaksud : “Tidak, bergembiralah, demi Allah kamu tidak akan ditakutkan oleh Allah selama-lamanya. Sesungguhnya kamu menyambung silaturrahm, benar dalam kata-kata, menepati timbangan, memuliakan tetamu dan menolong orang-orang yang berhak…” – Hadis riwayat Bukhari.

Itulah sifat-sifat Rasulullah SAW yang disebut oleh isterinya yang tidak ada satupun menyenaraikan suaminya itu sebagai seorang yang kaya dan berpangkat. Budi pekerti yang baik inilah yang menarik seterusnya mengikat manusia dengan akidah Islam. Bahkan sebelum kenabian baginda lagi, baginda digelar sebagai al-Amin (yang amanah) dan bukan al-Ghaniyy (kaya). Justeru, baginda tidak datang dengan habuan wang ringgit dan projek-projek pembangunan untuk menarik manusia sebagaimana yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Sedangkan inilah yang dipohon oleh orang-orang kafir yang sudah enggan beriman dengan baginda. Firman Allah SWT :

وقالوا لن نؤمن لك حتى تفجر لنا من الأرض ينبوعا ( 90 ) أو تكون لك جنة من نخيل وعنب فتفجر الأنهار خلالها تفجيرا ( 91 ) أو تسقط السماء كما زعمت علينا كسفا أو تأتي بالله والملائكة قبيلا ( 92 ) أو يكون لك بيت من زخرف أو ترقى في السماء ولن نؤمن لرقيك حتى تنزل علينا كتابا نقرؤه قل سبحان ربي هل كنت إلا بشرا رسولا ( 93

Yang bermaksud : Dan mereka berkata: "Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami, atau kamu mempunyai sebuah kebun korma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya, atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami. atau kamu mempunyai sebuah rumah dari emas, atau kamu naik ke langit. dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah Kitab yang kami baca". Katakanlah: "Maha Suci Tuhanku, bukankah Aku Ini Hanya seorang manusia yang menjadi rasul?" – Surah al-Israk, ayat 90-93

Adapun UMNO, sangat berbeza dengan pendekatan yang diajar oleh nabi. Wang ringgit digunakan sewenang-wenangnya untuk menyogok rakyat seolah-olah rakyat sudah menjadi bahan belian yang boleh ditukar ganti dengan nilai. Padahal ditetapkan umur 21 tahun untuk layak mengundi dengan tujuan supaya pengundi dapat menggunakan pertimbangan akal fikiran yang matang untuk memilih pemimpin. Lalu jika wang ringgit digunakan untuk membeli pertimbangan ini, apa gunanya ditetapkan umur 21 tahun?

Di Terengganu sewaktu Dato Seri Presiden PAS menjadi Menteri Besar, mereka sekat royalti minyak dan ditukar menjadi wang ihsan. Lalu wang ihsan inilah yang dijaja ke seluruh negeri untuk menyogok rakyat. Begitu juga di Kelantan hari ini, mereka menjaja wang ihsan yang asalnya merupakan royalti yang wajib dibayar. Diheboh pula bahawa Kelantan tidak akan membangun tanpa UMNO, tidak ubah seperti ayam jantan yang mendakwa matahari tidak akan naik jika ia tidak berkokok! Saya kira, apa yang UMNO lakukan di Kelantan dan Terengganu ini hakikatnya tidak kurang teruknya dengan apa yang didakwa dilakukan oleh gereja dan gerakan kristianisasi. Itupun jika berita yang disebarkan itu benar. Biasanya jika media UMNO yang berbicara, daripada 9 perkara yang disebut, 10 daripadanya hanyalah provokasi dan manipulasi maklumat!

Dari sudut yang lain, jika orang Melayu sudah begitu teruk sehingga akidah mereka mampu dibeli oleh gerakan Kristianisasi, manakah maruah UMNO yang selama ini sibuk berjuang menjaga Melayu dan Islam? Nampaknya Malaysia ini tidaklah makmur sangat di bawah kepimpinan UMNO sehingga akidah pun mampu dibeli dengan duit. Alhamdulillah, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang membentangkan statistik kes murtad beberapa bulan lepas daripada tahun 2000 sehingga tahun 2010, tidak ada satu pun kes yang terlibat di Kelantan.

Kesimpulannya, jika gerakan Kristianisasi itu teruk, maka UMNO pun tidak kurang teruknya!


YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia NIk Abdul Aziz bin Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 8 Ramadhan 1432H / 8 Ogos 2011M

Friday, August 5, 2011

Ramadhan Bulan Hidayah


http://2.bp.blogspot.com/-I7tMbHlgty8/TjuOtQQfy3I/AAAAAAAABkE/GGfdy4Qm8Tk/s1600/tgna8.jpg

Firman Allah SWT :

ياأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa..” – Al-Baqarah, ayat 183

Alhamdulillah, sekali lagi tetamu mulia bernama Ramadhan menjenguk ke dalam ruang hidup kita. Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah SWT, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.

Sebagaimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.

Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Dan hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah SWT. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain.

Hidayah ialah satu benda yang tidak diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah. Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak pernah menyebut persoalan hidayah. Umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun.

Inilah silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini. Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah SWT. Di dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus. Firman Allah SWT :

اهدنا الصراط المستقيم

Yang bermaksud : “Tunjukilah kami jalan yang lurus..” – Surah al-Fatihah, ayat 6

Sekiranya hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan ini kepada Allah SWT berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah SWT. Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang mendapat nikmat yang besar. Firman Allah SWT :

صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين

Yang bermaksud : (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. – Surah al-Fatihah, ayat 7

Dan siapa pula orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah SWT :

مَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ

Yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya..” – Surah an-Nisa’, ayat 69

Selain memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan beramallah dengan kandungannya. Al-Quran ialah manual yang diturunkan Allah SWT untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana bumi ini diciptakan oleh Allah SWT dan manual penggunaannya hanya dikeluarkan oleh Allah SWT.

Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, syurga dan neraka. Ia umpama lampu suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah. Sebagaimana kita akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat, demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya. Lampu suluh kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di akhirat nanti. Mereka yang menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh Allah SWT. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam kubur dan kegelapan di hadapan Allah SWT kelak.

Bahayanya masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku manual hidup. Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet Union,ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan kemudharatan kepada Islam.

Bumi ini yang pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang pernah dicatat di dalam sejarah. Masjid-masjid cukup besar namun sunyi dari diimarahkan. Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur. Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan kehidupan.

Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah.

Apa yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut. Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk disemai semula.

Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk menyemarakkan al-Quran. Ibubapa berperanan di rumah, guru-guru di sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama dan insya-allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan.

Akhir kata, selamat menyambut Ramadhan. Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu.


YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.