Monday, October 24, 2011

Senyum Tak Perlu Kata Apa-Apa!

UMNO


ISMA


Dalam kitab Abjadiyyat at-Tasawwur al-Haraki lil Amal Islami (Tasawwur Asasi Gerakan Islam) tulisan Sheikh Fathi Yakan pada bab 'Mesti ada kesatuan dalam amal Islami' beliau ada menyatakan bahawa ketika mana Inggeris ingin menghancurkan sebuah gerakan Islam di Semenanjung Benua India pimpinan Sheikh Ahmad bin Irfan maka ditajalah sebuah lagi gerakan Islam dibawah pimpinan Ghulam Ahmad Qadiani untuk menyaingi dan memecahbelahkan gerakan Islam yang telah ada!

Walaupun namanya gerakan Islam dan membuat kerja-kerja yang zahirnya Islam tapi hakikatnya adalah untuk merosak dan memecahbelah sebuah kesatuan. Strategi 'pecah dan perintah' inilah yang digunakan oleh mana-mana penjajahan pun!

Sama juga dengan Masjid Dhirar pada zaman Rasulullah SAW dulu, sama saja modus operandinya, berbeza hanya pada latar tempat dan wataknya saja.

Justeru, saya amat berharap agar ianya tidak lagi berulang pada zaman kita ini dan kesatuan yang dicanang-canangkan itu bukan 'manis dibibir mulut saja' tapi direalisasikan dengan amal dan perbuatan. Wallahua'lam

"ISLAM UNTUK SEMUA"



p/s :

1) rambut lain-lain tapi hati sama 'putih'?

2) ISMA Alat UMNO?

3) HIMPUN fitnah untuk Islam?

4) Muslim yang tak berfikir saja sokong HIMPUN?

5) Keris telanjang?

6) Andaikata 'Ikatan Kristian Malaysia (IKMA)' pula menganjurkan HIMPUN untuk menguatkan akidah penganut Kristian dari diselewengkan mubaligh Islam dan menaikkan pula banner 'Cina Sepakat, Kristian Berdaulat' kerana waqi'iyyah jiddiah nya hampir semua Kristian dinegara ini adalah bangsa Cina. Apa perasaan umat Islam ketika itu?

Fikir-fikirkan dan selamat beramal!




Sunday, October 16, 2011

Kerja Islam Bukan Main-Main!


KUALA TERENGGANU, 16 Okt: PAS mengingatkan orang Melayu Islam di negara ini agar berpegang kepada kerajaan yang berasaskan ajaran Islam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan orang Melayu yang beragama Islam mesti berpegang kepada ajaran Islam.

Justeru, katanya kerja-kerja menegakkan Islam serta ajarannya bukan suatu kerja ‘main-main’.

"Kerja (tegak Islam) ini bukan kerja main-main, kerja ini kerja tuntutan daripada Allah SWT. Allah memerintahkan manusia jalankan keadilan," jelasnya.

Menurutnya, al-Quran yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad sejak 1,400 tahun lalu merupakan pegangan bukan hanya kepada orang Melayu sahaja tetapi seluruh manusia.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan yang memerintah mampu melaksanakan Islam.

Oleh itu, katanya Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi Perdana Menteri ketika memerintah Madinah sekaligus menolak dakwaan Umno yang memisahkan politik daripada agama.

"Nabi Muhammad s.a.w. meninggal ribu-ribu tahun dulu, yang tinggal al-Quran. Al-Quran menjadi pegangan hidup manusia, bukan sahaja hidup Melayu.

“Melayu ke dia, Cina ke dia, Inggeris ke dia, asalkan dia manusia bukan kayu, batu, bukan haiwan wajib ke atas dia dari segi agama kena ikut Quran.

"Nabi Muhammad s.a.w. menjadi Perdana Menteri waktu sampai ke Madinah. Umno kata agama lain politik lain, cuba tanya Umno, siapa yang memegang kerajaan di Madinah jika tidak Nabi Muhamad s.a.w.," ujarnya kepada media selepas merasmikan Himpunan PAS Ganti Umno, PR Ganti BN di Pantai Pandak Chendering, dekat sini, semalam.

Justeru, kata beliau kerajaan yang mengambil bukan Islam dan kebangsaan sebagai dasar pemerintahan, bukan daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Friday, October 7, 2011

Mampukah PAS Menjadi Bahtera Penyelamat Umat Ini?

http://1.bp.blogspot.com/-MK_7CpM5Tcc/To6zZ1I5v3I/AAAAAAAABoQ/EE_WcVgSChU/s1600/60.jpg


KEPALA BATAS, 1 Okt: PAS kini sudah memasuki era baru dalam perjalanan perjuangannya yang kini mencecah usia 60 tahun sejak penubuhannya 1951, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bercakap sewaktu menyampaikan ucaptama di Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, Kepala Batas di sini, Presiden PAS itu berkata parti Islam itu kini telah mendapat kepercayaan pelbagai pihak di negara ini.

Kepercayaan itu ujarnya hasil daripada pengamatan rakyat melihat ketabahan PAS yang tidak berganjak memperjuangkan keadilan Islam biarpun menghadapi tekanan dan penindasan sejak zaman penjajah dan penafian hak oleh pusat biarpun telah menguasai beberapa negeri.

"PAS adalah parti yang bertunjang dengan teguh dan kuat, tidak terpengaruh dibawa arus penjajah.

"Ada yang terjebak dengan Komunis, British dan Jepun. Tapi PAS tidak hanyut dengan mana-mana fahaman penjajah," katanya.

Selepas merdeka pula, PAS yang mengambil sikap menyertai pilihan raya untuk menegakkan Islam terus mendapat tekanan daripada parti pemerintah biarpun kini telah berjaya menguasai beberapa negeri bersama Pakatan Rakyat.

"Semangat faderalisme dicabul pemerintah. Sewaktu kita memerintah Terengganu hak royalti dirampas, dinafikan hak di Kelantan," katanya lagi.

Kepercayaan terhadap PAS yang perjuangannya dipandu Majlis Syura Ulama, terus menebal apabila mempamerkan pentadbiran yang baik dan adil di negeri-negeri yang dikuasai.

Jika dahulu katanya, PAS hanya dilihat diskong oleh orang Islam, namun hari ini PAS sudah mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari kaum Cina dan India.

Malah gabungan profesional dan ulama yang memimpin PAS juga telah menguatkan lagi parti itu sekaligus menafikan persepsi bahawa PAS hanya untuk golongan agama.

Sehubungan itu ujarnya, PAS kini menjadi harapan sebagai "bahtera penyelamat" kepada segala permasalahan yang sedang menimpa masyarakat pada hari ini.

"Di zaman Nabi Nuh, baterah Nabi Nuh menjadi penyelamat, di zaman ini PAS adalah bahtera penyelamat terhadap kehidupan manusia berlandaskan al-Quran, hadis, ijma' dan qias," tegasnya.

Sementara itu, lebih 7000 hadirin hadir ke Kongres 60 Tahun PAS hari ini.

Selain ucaptama presiden, kongres kali ini juga turut memberikan anugerah "Pahlawan Umat" kepada Presiden PAS ke-3 Dr. Burhanudin Al-Helmi.

Sehubungan itu, gelaran tersebut akan digunakan setiap kali nama Dr Burhanudin disebut.

Sebelum penyampaian anugerah itu yang diterima isteri beliau, jasa dan semangat perjuangan Dr. Burhanudin diceritakan melalui puisi khas yang didelamasikan Saterawan Negara, Datuk A.Samad Said.



Thursday, October 6, 2011

60 Tahun PAS : Tergelincirkah Dari Landasan?


KEPALA BATAS: PAS telah melalui pengalaman yang panjang dan matang serta menghadapi cabaran bermula di zaman penjajah hingga ke zaman globalisasi kini dalam tempoh 60 tahun usia penubuhannya, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Jelas beliau, PAS menjadi parti yang berpengalaman dalam perjalanan perjuangannya bukan sahaja menjadi pembangkang tetapi juga memerintah kerajaan negeri di Kelantan, Kedah dan pernah di Terengganu dan Perak selain menyertai rakan campuran di Selangor dan Pulau Pinang.

“PAS adalah parti yang bertunjang dengan tunjang yang teguh dan kuat, yang tidak hanyut di zaman cabaran menghadapi penjajahan. Dalam perjuangan menentang penjajah, PAS dapat menyerlahkan pemimpin-pemimpin yang murni suci ketika masyarakat di negara kita ada yang terpengaruh dengan komunis, dengan British, yang terpengaruh dengan berbagai-bagai fahaman dalam pergolakan.

“Pertarungan kuasa Timur dan Barat dalam pertembungan untuk menentang penjajah, ada orang Melayu yang terjebak dengan British, dengan Jepun, yang terjebak dengan komunis. (Tetapi) pimpinan PAS, adalah pimpinan yang bebas daripada pengaruh British, Jepun dan Komunis.

“Inilah kumpulan yang melahirkan Persatuan Islam di Tanah Melayu yang dapat menyelamatkan rakan-rakan daripada tawanan pelbagai jenis itu,” ujarnya berucap pada Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, di sini 1 Oktober lalu.

Terang beliau, sejarah menunjukkan bahawa PAS menyertai dan bekerjasama dengan banyak pihak termasuk Umno untuk menuntut kemerdekaan dengan menyerlahkan pendirian tegas PAS rupa bentuk negara yang sepatutnya terbentuk selepas negara merdeka.

Hal itu katanya, kerana PAS mempunyai acuan yang tersendiri ditunjuk oleh Allah dan diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

“Kita perlu faham, kita bukan sahaja wajib membebaskan diri dari penjajahan asing yang bersifat manusia, termasuklah kita perlu membebaskan diri dari penjajahan pemikiran yang sedang membelengu kita.

“Sejak sebelum merdeka PAS memilih menyertai jalan demokrasi secara aman untuk menegakkan cita-cita PAS, dengan menyertai pilihan raya tahun 1955,” jelas Ustaz Abdul Hadi.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengulas panjang lebar kepincangan demokrasi kelahiran Barat sebelum para ilmuan mereka mengkaji kitab-kitab politik Islam.

“Pendemokrasian Barat menjadi moden hasil kajian mereka kepada prinsip Islam, melahirkan pemimpin bermaruah, menjadi pendemokrasian sebagai mahkamah rakyat yang adil untuk menghukum pemerintah, media menjadi saksi yang adil.

“Pemimpin mereka sanggup terima kekalahan dalam pilihan raya atau letak jawatan sekiranya berlaku sesuatu. Inilah hasil daripada Islam, malangnya ajaran ini ditinggalkan oleh orang Islam sendiri dan melupakan soal maruah.

“PAS mahu menghidupkan amalan ini mengembalikan umat Islam kepada demokrasi yang diambil daripada roh Islam. PAS menyertai pilihan raya pertama sejak zaman penjajah. Seterusnya selepas merdeka PAS rebah bangun dalam pilihan raya dan memerintah kerajaan negeri.

“Menang di Kelantan, di Terengganu, ditumbangkan di Terengganu, didaruratkan di Kelantan, walaupun kita dijatuhkan dengan cara tidak begitu rupa, tidak bermaruah, tidak beradab, kita bukan golongan yang gila kuasa, kita menunggu dengan sabar. Bukan seperti parti yang kalah dalam tahun 1969 mencetuskan Darurat 13 Mei,” ujarnya menempelak Umno.

Jelas beliau, PAS bukan sahaja berusaha untuk menang tetapi juga boleh menerima kekalahan sebagai menunjukkan sikap terbuka yang ada pada PAS.

Malah tegasnya, PAS istiqamah untuk mendokong sistem politik Islam sebagai teras pemerintahan negara bermula dengan menegaskan sebahagian daripada Islam yang syumul dan lengkap sepertimana memperkenal tema Negara Berkebajikan.

Perkara itu ujarnya, bukanlah asing bagi mereka yang mengkaji Islam, sebaliknya golongan bebal menuduh PAS menyeleweng dari perjuangan.

“Biar anjing menyalak, tetapi kita akan terus berjalan menuju matlamat,” tegas Ustaz Abdul Hadi dalam ucapannya itu.



Wednesday, October 5, 2011

Islam Teras Kekuatan PAS

PERCAYALAH SAUDARA, PERJUANGAN KITA ADALAH JIHAD! UCAPAN KITA ADALAH JIHAD! DERMA KITA ADALAH JIHAD! DAN KERANA KITA BERJUANG DENGAN PUAK-PUAK INI, KALAU KITA MATI KERANA BERLAWAN INI, MATI KITA ADALAH MATI SYAHID, MATI KITA ADALAH MATI ISLAM! ~AMANAT HAJI HADI

KEPALA BATAS:
PAS adalah sebuah parti Gerakan Islam dan parti politik Islam yang antara terawal ditubuhkan kesinambungan daripada kedatangan Islam di Asia Tenggara, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Jelas beliau, kemunculan PAS adalah satu tuntutan daripada Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

“Menyambung perjuangan di zaman tidak ada nabi dan rasul ialah kumpulan Islam yang ciri-cirinya dinyatakan Allah SWT di dalam al-Quran dan dihayati generasi awal umat Islam yang menyambung perjuangan Rasulullah SAW.

“Kebangkitan sebagai sebuah gerakan Islam adalah selaras dengan gerakan tajdid, gerakan pembaharuan yang akan wujud di sepanjang zaman yang akan menyatakan bahawa cahaya Islam tidak boleh dipadamkan.

“Kelahiran PAS adalah hasil gerakan tajdid seawal gerakan diambang kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah. Gerakan yang dipimpin oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh yang mengembalikan semangat umat yang mengalami perpecahan kerana serangan pemikiran sekularisma yang melahirkan fahaman nasionalisma yang fanatik,” ujarnya berucap pada Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, di sini 1 Oktober lalu.

Terang beliau, gerakan dicetuskan Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh telah melahirkan putera-putera Islam di Asia Tenggara yang datang ke rantau ini menghadapi cabaran penjajahan.

Asia Tenggara katanya, menjadi sasaran awal penjajahan Barat yang gagal menjatuhkan Khilifah Islamiah di pusatnya lalu mereka menakluk Melaka tahun 1511 oleh Portugis diikuti Belanda dan Inggeris.

Terang Ustaz Abdul Hadi, ketika Barat melakukan penjajahan melalui Syarikat Hindia British dan Hindia Belanda, golongan Islam pula menubuhkan Partai Syarikat Islam pada tahun 1908 di Indonesia dan ditubuhkan cawangannya di Tanah Melayu.

Katanya, walaupun pihak penjajah bertindak mengharamkan Partai Syarikat Islam di Tanah Melayu, namun cahaya Islam tidak boleh dipadamkan apabila peranan itu disambung dengan penubuhan Hizbul Muslimin dan seterusnya Persatuan Islam Se-Tanah Melayu yang dinamakan dengan nama Parti Islam Se-Malaysia pada hari ini.

Kesamaan itu juga menurutnya, adalah hasil gerakan tajdid yang melahirkan kumpulan Islam di seluruh pelusuk dunia seperti gerakan Ikhwanul Muslimin di Asia Barat, Jamaat Islami di benua India dan Partai Masyumi di Indonesia.

“Peranan utama penubuhan PAS adalah mengembalikan kedaulatan Islam dan menyelamatkan seluruh manusia terutamanya di zaman yang kini gagalnya ideologi ciptaan manusia.

“Manusia menyaksikan di abad lalu keruntuhan komunisma yang menumbangkan Soviet Union, kuasa besar dunia yang dianggap hebat, paling luas wilayah dan kuasanya hancur berkecai. Hari ini tanda-tanda kiamat kemusnahan liberal kapitalisma berlaku di negara Barat, bukan sahaja keruntuhan moral dan nilai kemanusiaan, termasuk keruntuhan ekonomi dan politik.

“Terserlah tanda-tanda kemusnahan mereka puncanya ialah kerana ajaran tersebut tidak memenuhi ciri-ciri fitrah manusia, naluri manusia, ajaran yang tidak ada roh, iman kepada Allah dan hari akhirat, tidak ada perhitungan dosa dan pahala, menjadikan manusia tidak boleh dikawal sifat-sifat fitrah mereka,” syarahnya.

Tegas Ustaz Abdul Hadi, PAS menghasilkan suatu matlamat jelas dan nyata untuk mendirikan sebuah pemerintahan yang melaksanakan di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukum menurut keredaan Allah.

Perlembagaan PAS ujar beliau, bukan sekadar mewarisi sistem pemerintahan yang diajar oleh Rasulullah SAW, bahkan PAS telah meletakkan perjuangannya mestilah menjadi alternatif kepada sistem pemerintahan warisan penjajah.

Katanya, terbukti penjajah telah meninggalkan masalah kepada seluruh negara bekas jajahan walaupun berpuluh-puluh tahun mencapai kemerdekaan apabila seluruh negara bekas jajahan kekal di tahap negara miskin.

“Ini menunjukkan selagi kita tidak boleh membebaskan diri dari belengu penjajahan dengan cara yang menyeluruh, kita tidak mencapai kemerdekaan yang sebenarnya,” ujar Tuan Guru.


Saturday, October 1, 2011

Hudud Tetap Akan di Laksana!


KOTA BHARU – Pas Kelantan tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hukum hudud walaupun tidak mendapat kerjasama komponen Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, hasrat itu selaras dengan matlamat Pas sejak 21 tahun lalu.

Katanya, Pas Kelantan bersedia bila-bila masa untuk melaksanakannya, malah Mahkamah Syariah negeri melalui Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad turut menyatakan persediaan untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

Beliau berkata, peluang perlu diberikan kepada Pas Kelantan untuk mempraktikkan undang-undang Islam berkenaan dan dengan cara itu boleh dilihat sama ada berjaya atau sebaliknya.
“Hasrat Pas (Kelantan) melaksanakan hukum hudud tidak berubah, tetapi kami tidak memaksa masyarakat menerimanya. Sebab itu kami mengadakan ceramah dan kempen kepada masyarakat untuk memahami hudud.

“Kita tidak boleh lari… kita perjelaskan isu ini dan kenapa Pas Kelantan hendak sangat laksanakan hudud. Pertama kerana ia isu agama dan keduanya kebaikan pelaksanaan hukum itu sendiri yang kita mahukan,” katanya kepada media, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Majlis Pimpinan PR tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti yang dicadangkan Pas kerana tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan berkata, undang-undang moden gagal mengatasi kes-kes jenayah yang berlaku selama ini.

“Kita bukan nak bergaduh, cuma laksana hudud adalah pendirian kita dan matlamat kewujudan Pas di Kelantan untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh dan salah satunya hudud ini.

“Undang-undang hudud sudah diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan tidak perlu ma suk dewan lagi, cuma ia akan dibentuk oleh mahkamah dan pihak berkuasa agama,” katanya.
Mohd Amar berkata, terdapat beberapa pandangan yang menyatakan Kelantan tidak memerlukan kebenaran Kerajaan Pusat kerana hal berkaitan agama adalah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, terdapat juga pandangan hukum hudud perlu dibawa ke Parlimen mengikut Perkara 9 bidang kuasa negeri.

Katanya, apa yang penting Kerajaan Negeri sudah melepasi tahap pertama iaitu mendapat kelulusan Dun dan seterusnya pemahaman berterusan akan diberikan kepada masyarakat contohnya melalui sambutan Hari Hududullah Kelantan.


*****************

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, PAS berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang tersebut.

Dalam satu kenyataan menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan kini, sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.

Menurutnya, perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.

"PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," katanya.

Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS:

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
30 September 2011