Saturday, October 1, 2011

Hudud Tetap Akan di Laksana!


KOTA BHARU – Pas Kelantan tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hukum hudud walaupun tidak mendapat kerjasama komponen Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, hasrat itu selaras dengan matlamat Pas sejak 21 tahun lalu.

Katanya, Pas Kelantan bersedia bila-bila masa untuk melaksanakannya, malah Mahkamah Syariah negeri melalui Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad turut menyatakan persediaan untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

Beliau berkata, peluang perlu diberikan kepada Pas Kelantan untuk mempraktikkan undang-undang Islam berkenaan dan dengan cara itu boleh dilihat sama ada berjaya atau sebaliknya.
“Hasrat Pas (Kelantan) melaksanakan hukum hudud tidak berubah, tetapi kami tidak memaksa masyarakat menerimanya. Sebab itu kami mengadakan ceramah dan kempen kepada masyarakat untuk memahami hudud.

“Kita tidak boleh lari… kita perjelaskan isu ini dan kenapa Pas Kelantan hendak sangat laksanakan hudud. Pertama kerana ia isu agama dan keduanya kebaikan pelaksanaan hukum itu sendiri yang kita mahukan,” katanya kepada media, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Majlis Pimpinan PR tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti yang dicadangkan Pas kerana tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan berkata, undang-undang moden gagal mengatasi kes-kes jenayah yang berlaku selama ini.

“Kita bukan nak bergaduh, cuma laksana hudud adalah pendirian kita dan matlamat kewujudan Pas di Kelantan untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh dan salah satunya hudud ini.

“Undang-undang hudud sudah diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan tidak perlu ma suk dewan lagi, cuma ia akan dibentuk oleh mahkamah dan pihak berkuasa agama,” katanya.
Mohd Amar berkata, terdapat beberapa pandangan yang menyatakan Kelantan tidak memerlukan kebenaran Kerajaan Pusat kerana hal berkaitan agama adalah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, terdapat juga pandangan hukum hudud perlu dibawa ke Parlimen mengikut Perkara 9 bidang kuasa negeri.

Katanya, apa yang penting Kerajaan Negeri sudah melepasi tahap pertama iaitu mendapat kelulusan Dun dan seterusnya pemahaman berterusan akan diberikan kepada masyarakat contohnya melalui sambutan Hari Hududullah Kelantan.


*****************

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, PAS berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang tersebut.

Dalam satu kenyataan menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan kini, sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.

Menurutnya, perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.

"PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," katanya.

Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS:

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
30 September 2011

No comments: