Saturday, November 26, 2011

Falsafah Politik Disebalik Haji dan Hijrah


Para jamaah haji yang baru pulang, masih tersemat dalam ingatan mereka laungan talbiyah yang berkumandang di tanah suci, bermaksud, "Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Tiada sekutu bagimu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kerajaan menjadi milikmu". Diajar oleh Rasulullah S.A.W kepada sesiapa yang memakai pakaian ihram untuk haji dan umrah, menggantikan ucapan syirik oleh kaum jahiliyyah yang menunaikan haji sebelum menganut Islam.

Lafaz bagi menyahut seruan Nabi Ibrahim A.S, sebutan bahasa Al Quran Ibrahim atau Abraham mengikut sebutan penganut agama lain. Ibrahim diberi penghormatan kerana perjuangannya mengajak Maharaja Namrud dan rakyat kepada ajaran yang benar daripada Allah iaitu Islam sehinggalah beliau dihalau. Perjuangan ini di sambung oleh para Rasul di kalangan Bani Israel dan Rasul akhir zaman Muhammad S.A.W menunjukkan bahawa perjuangan Islam yang sempurna tidak memisahkan politik daripada agama. Sabda Rasulullah S.A.W, "Pemimpin politik Bani Israel ialah para Anbiya". (Riwayat Al Bukhari). Menunjukkan juga bahawa amalan syirik bukan sahaja berlaku dalam perkara ibadat, bahkan berlaku dalam cara hidup yang melibatkan amalan politik.

Musim haji menjadi salah satu medan perjuangan Rasulullah S.A.W untuk berdakwah. Setelah para pemimpin musyrikin Makkah menolak Islam dan tawaran menegakkan negara yang adil untuk semua dan Rasulullah S.A.W juga menolak tawaran mereka untuk melantiknya menjadi raja atau pemimpin serta tawaran harta kekayaan yang melimpah ruah. Diikuti dengan penentangan secara kekerasan terhadap Rasulullah S.A.W dan orang-orang yang mengikutnya di Makkah. Para sahabat yang beriman diperintah bersabar menghadapi kezaliman, walaupun ada yang mati dibunuh.

Akhirnya Rasulullah S.A.W berkempen kepada pemimpin kabilah Arab yang berpengaruh supaya menerima Islam dan mengizinkan Islam ditegakkan dalam masyarakat dan negara. Allah berjanji bahawa kemenangan pada akhirnya kepada Islam. Firman Allah Taala maksudnya, "Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka para pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (memerintah bumi)". (Al Qasas:5).

Kedatangan pemimpin kabilah Arab di musim haji dijadikan kesempatan mengajak mereka kepada Islam dan tawaran kemenangan daripada Allah. Rasulullah S.A.W ditemani oleh sahabatnya yang setia, Abu Bakar R.A memulakan pertemuan dengan pemimpin Bani ‘Amir yang ramai pengikut. Rasulullah S.A.W mengajak mereka kepada Islam dan menerima supaya negeri mereka menjadi tempat berlindung bagi menegakkan Islam dan Allah menjanjikan kemenangan.

Apabila mereka mendengar janji kemenangan daripada Allah, mereka bertanya, "Apakah janji habuan harta dan kedudukan yang hendak diberi kepada kami apabila kemenangan dicapai, adakah kami akan menjadi ketua selepas kamu?

Rasulullah S.A.W menjawab, "Akan diberi kepada kamu mengikut kehendak Allah, kerana Allah yang memiliki kerajaan, diberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya".

Pemimpin Bani ‘Amir berkata, "Kalau itulah jawapannya, maka kami tidak bersedia, kerana janji begini hanya menempah kesusahan sahaja".

Rasulullah S.A.W meninggalkan khemah Bani ‘Amir dengan rasa sedih, kemudian mengunjungi khemah pemimpin Bani Syaiban. Apabila mengajak kepada Islam dan tawaran janji kemenangan daripada Allah, pemimpin Bani Syaiban bertanya, “Terangkan kepada kami, apa dia Islam?

Apabila Rasulullah S.A.W menerangkan makna Islam dan membaca beberapa ayat-ayat Al Quran, pemimpin Bani Syaiban berkata, "Ini bukan ucapan penduduk bumi, apa yang dinyatakan ini benar tetapi cabarannya besar kerana ditentang oleh musuh dari seluruh pelosok dunia. Kalau berdepan dengan kabilah-kabilah Arab kami bersedia, tetapi menghadapi Parsi (kuasa besar dunia) yang bersempadan dengan kami sangat berat, kami tidak mampu". Seterusnya mereka berjanji untuk berfikir dahulu. Rasulullah S.A.W memberitahu bahawa untuk bersama dengan Islam sekarang mestilah bersedia menghadapi cabaran daripada segenap penjuru dan mempersilakan mereka datang apabila mendengar kemenangan Islam.

Akhirnya Rasulullah S.A.W menemui rombongan kabilah Aus dan Khazraj, penduduk Yathrib (nama asal Madinah) yang bermasyarakat majmuk dengan kaum Yahudi (Ahli Kitab) yang menceritakan berita kelahiran Nabi akhir zaman yang di nanti-nanti. Apabila pemimpin Aus dan Khazraj ditemui oleh Rasulullah S.A.W, mereka terus menganut Islam dan mengadakan Bai’ah (perjanjian setia) menyerahkan diri, harta dan tanah air mereka menjadi tempat hijrah. Maka berlakulah peristiwa hijrah yang terkenal.

Ketika bersedia untuk berhijrah Rasulullah S.A.W meminta menantunya Ali bin Abi Talib R.A menyerahkan barang-barang simpanan yang diamanahkan kepadanya oleh kalangan penduduk Makkah, (ahli sejarah ekonomi Islam menyatakan bahawa inilah muamalah Bank yang pertama dalam sejarah manusia). Rasulullah S.A.W selamat keluar daripada Makkah dengan menembusi kepungan musuh yang lengkap bersenjata untuk membunuhnya dengan pertolongan Allah secara mukjizat (luar biasa).

Dalam perjalanan hijrah itu Rasulullah S.A.W menggunakan pemandu, seorang bukan Islam yang tidak bermusuh dengannya bagi melalui jalan pintas yang tidak diketahui umum. Peristiwa ini menunjukkan ada kerjasama dengan bukan Islam yang bencikan kezaliman. Setelah berlakunya hijrah dengan sepenuhnya maka Rasulullah S.A.W telah mempersaudarakan kalangan penganut Islam yang berhijrah, mereka yang dikenali dengan Muhajirin dengan penduduk tempatan yang menganut Islam yang dikenali dengan Ansor.

Seterusnya menerima kehadiran masyarakat majmuk bersama kalangan bukan Islam daripada kaum Yahudi, kaum Arab musyrikin dan diikuti oleh penganut kristian yang tinggal di Najran. Satu perjanjian dimaterai, dikenali dengan Sahifah Madinah (Piagam Madinah). Yathrib ditukar nama kepada Madinah (Bandar).

Projek pertama ialah mendirikan sebuah masjid, tempat berhimpun untuk beribadat, mendengar khutbah sekurang-kurangnya sekali seminggu, majlis ilmu, pusat arahan pentadbiran, mahkamah dan menerima rombongan daripada luar, termasuk daripada kalangan bukan Islam. Projek kedua ialah pasar Madinah yang menjadi pusat perdagangan bagi seluruh rakyat semua kaum. Maka lahirlah sebuah negara dan masyarakat madani, mengambil sempena perkataan Madinah yang bererti bandar atau perkataan Tamadun yang bermaksud keadaan masyarakat manusia yang berkembang kemajuan pemikiran dan kebendaan melalui ilmu, politik, ekonomi dan Islam pula menambahnya dengan akhlak yang berteraskan iman.

Islam telah memperkasakan manusia dengan iman dan ilmu, bukan sahaja menerima manusia yang menganut Islam tanpa paksaan, dalam masa yang sama menerima ilmu akal dan pengalaman daripada pelbagai kaum dengan membawa konsep tiada pemisahan di antara perkara dunia dan akhirat, kerana dunia adalah tempat manusia beramal untuk akhirat, samada beribadat atau memakmurkan dunia berpandukan syariat Allah.

Haji dan Hijrah mencipta titik tolaknya amalan mengislamkan manusia dan negara yang menjadi mesej Rasulullah S.A.W, nabi akhir zaman yang menjadi Rasul ketika manusia seluruh dunia ditemukan dengan kemajuan perhubungan dan maklumat yang menemukan manusia seluruhnya dengan berbagai alat ciptaan yang canggih dengan meletakkan batas baik dan buruk, manfaat dan mudarat, adil dan zalim.

Firman Allah maksudnya, "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat".(An Nisa’:58)

Di antara amanah yang paling besar dalam ajaran Islam ialah memilih pemimpin, sehingga para sahabat R.A bermesyuarat ketika wafatnya Rasulullah S.A.W dan menjadikannya lebih penting daripada menghadiri upacara mengkebumikan jasad Rasulullah S.A.W. Sebahagian besar para sahabat menghadiri mesyuarat dan hanya sedikit sahaja yang berada di tempat pengebumiannya.

Imam al-Ghazali menegaskan, ”Agama Islam adalah asas, pemerintahan (politik) adalah pengawas, tanpa asas menjadi runtuh dan tanpa pengawas menjadi sia-sia. Umat Islam menjadi lemah kerana lemah pegangan agamanya dan hukum Islam banyak yang menjadi sia-sia kerana politik dipisahkan daripada agama Islam atau Islam menjadi slogan tanpa kuasa politik yang beramal dengan seluruh syariatnya".

Di zaman kelemahan umat Islam pula, sehingga tanah air dijajah, umat Islam dipecah dan diperintah, para ulama yang berkumpul di Makkah mengambil kesempatan musim haji mengajak jamaah haji yang datang daripada seluruh pelosok dunia supaya menentang penjajah di negeri masing-masing dan mendidik anak-anak mereka dengan ilmu Islam yang sempurna supaya Islam ditegakkan semula bagi meneruskan perjuangan Rasulullah S.A.W.

Beginilah hubungan haji dengan urusan umat, sehingga seorang pemikir orentalis menegaskan bahawa Islam tidak boleh dihapuskan selagi masih ada al-Quran dan Makkah.


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Hijrah dan Pembentukan Negara


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

بسم الله الرحمن الرحيم

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Yang bermaksud : Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Nisa’ ayat 100

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesykuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah SWT.

Sesungguhnya, menyambut ulang tahun Hijratur-Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan. Sambutan Hijratur-Rasul ini sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah. Hakikatnya, Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram.

Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah. Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal. Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan calendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA.

Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’? Jawabnya ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.

Pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara. Sebagaimana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakak solat lima kali sehari, berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kita tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya manusia daripada Allah SWT. Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT. Justeru, PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu sendiri.

Dari aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah, demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang dilakukan berkesan dan berjaya.

Strategi Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah. Baginda juga mengupah Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non muslim dalam urusan yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam.

Baginda juga memilih untuk berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin. Nyata sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau kecerdikan baginda.

Pada zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai.

Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat. Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan? Tidak lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia.

Yang mampu memagari manusia dari melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT. Di Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi.

Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA. Oleh yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular, yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak juga di bumi Allah SWT ini.

Insya-allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah.


Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

al-Mursyidul Am

Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh : 28 Zulhijjah 1433H bersamaan 24 November 1433H