Dalam al-Quran diceritakan kisah cinta manusia-manusia yang mendapat hidayah, antaranya kisah Nabi Yusuf. Boleh Tok Guru ulas sedikit mengenainya?
Dalam al-Quran disebut ALLAH memilih orang tertentu untuk diberikan hidayah dan Nabi Yusuf antara orang pilihan ALLAH. Siapa yang akan menjadi pilihan ALLAH itu kita tidak dapat menentukannya. Tapi pilihan ALLAH itu selalunya diberikan pada hamba yang berikhtiar dekat pada-NYA.
ALLAH anugerahkan kecantikan kepada Nabi Yusuf, dalam kes ini apakah salah sekiranya Zulaikha menyukai dan mencintai Yusuf?
Cinta adalah fitrah semula jadi yang murni sifatnya. Salahnya adalah apabila cinta diletakkan pada tempat yang tidak sepatutnya atau salah guna. Umpama duit atau mata pisau, jika sekiranya digunakan untuk kebaikan, baiklah natijah. Sebaliknya jika digunakan untuk keburukan, maka buruk jugalah hasilnya. Cinta ini nikmat Tuhan yang tidak ternilai kehebatannya. Sebab itu ALLAH mengajarkan bahawa cinta paling utama adalah cinta hamba kepada ALLAH kerana dengan cinta sedemikian maka hamba itu akan terselamat dari fitnah cinta sesama makhluk. Malangnya Zulaikha telah mencintai makhluk melebihi kecintaan-NYA kepada ALLAH.
Kerana cinta itu adalah indah dan anugerah yang MAHA PENCIPTA, dalam konteks sekarang bolehkah seseorang melafazkan cinta pada orang yang disukainya tetapi masih dalam situasi yang terkawal seperti hanya menggunakan SMS, surat atau internet?
Memang perasaan suka dan cinta itu fitrah yang ALLAH berikan yang boleh digunakan. Sebab itu ALLAH turunkan syariat untuk memudahkan hidup manusia. Berkaitan dengan ungkapan cinta yang dilafazkan melalui SMS, surat atau internet, secara fizikalnya memang tidak ada salahnya. Cuma yang dibimbangkan, apa jaminannya bahawa cara itu tidak membawa kepada cara-cara yang lebih intim selepas itu. Seperti contoh, kita dibawa pergi ke tempat-tempat yang tidak sihat atau melihat gambar-gambar yang merangsang nafsu. Apa jaminan yang jiwa dan nafsu kita selepas itu tidak terganggu.
Di sinilah pentingnya kawalan syariat. Kalau kita lakukan itu memang atas pertimbangan untuk mendapat pasangan yang baik selepas kita memahami tuntutan mencari pasangan yang baik adalah diperintahkan ALLAH, maka hal itu boleh menyelamatkan kita. Tetapi jika perkara itu dilakukan tanpa panduan syariat, dibimbangkan akan menyebabkan seseorang itu terjebak dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat seperti pergaulan bebasdan sebagainya.
Jadi menulis surat cinta, SMS atau menghantar surat melalui internet, walaupun niat asalnya baik, tetapi apa jaminan bahawa hal itu tidak mendatang tindakan susulan yang akhirnya boleh mendatangkan mudarat kepada kedua belah pihak selepas itu.
Bagi seseorang yang ada kesedaran Islam dan ingin mencari pasangan yang sesuai dengan tuntutan syariat, tetapi untuk menyuarakan hasrat hati tentu tidak baik jika disampaikan secara berdepan atau berdua-duaan. Salahkah jika SMS dan internet digunakan untuk menyampaikan hasrat di hati agar orang tersebut tahu bahawa ada orang yang menyukainya?
Bagi saya hal itu tidak salah asalkan dalam batas-batas syariat. Misalnya seorang perempuan berfikir ia perlu mencari pasangan hidup seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab yang boleh menjaga dirinya dan zuriatnya pada masa depan. Satu hari dia ternampak atau mengenali seorang lelaki yang sesuai dengan tuntutan syariat itu. Apa salahnya jika perempuan itu menyuarakan hasrat itu dengan membuat ‘tempahan’ terhadap lelaki tersebut. Cuma budaya kita sahaja yang tidak membiasakan perempuan merisik lelaki. Tetapi dalam agama hal itu tidak salah.
Bagaimana pun dalam urusan menyampaikan hasrat ini, Islam mempunyai panduan yang baik iaitu dianjurkan membuat pinangan. Pinangan ini pula hendaklah diuruskan oleh pihak keluarga. Jadi hubungan yang bakal dibina tidak dicemari oleh perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah.
Berpandukan kisah rumahtangga RasulULLAH pula, Aisyah digambarkan sebagai seorang wanita yang cerdik dan cantik sehingga RasulULLAH memanggilnya Humaira atau gadis kemerah-merahan. Sekali lagi kita diberi gambaran bahawa cinta terhadap wanita itu berkaitan dengan kecantikan. Dalam hal ini bolehkah seorang lelaki mengambil berat tentang kecantikan pasangan yang bakal menjadi pendamping hidupnya?
RasulULLAH telah memberi panduan bahawa seseorang perempuan itu dikahwini kerana beberapa sebab, antaranya kerana kecantikannya, kerana harta, kerana keturunan, dan kerana agamanya. Tetapi Nabi memberi panduan agar kahwinilah wanita itu kerana agamanya.
Jika seorang wanita dikahwini kerana kecantikan, rupa bentuk itu adalah perkara zahir. Ia boleh luntur apabila usia semakin meningkat. Seperti Buya Hamka katakan, apabila pipi kendur, gigi gugur, uban di rambut mula bertabur dan mata kabur, maka ketika itu seseorang nampak uzur.
Tetapi kalau seseorang perempuan dikahwini kerana agama, cinta akan utuh sampai tua. Malah dalam rumahtangga RasulULLAH digambarkan, walaupun Saydatina Khadijah sudah meninggal, tetapi RasulULLAH selalu menyebut kebaikannya. Pernah RasulULLAH menyembelih kambing, lalu meminta Aisyah membagi-bagikan daging kambing tersebut kepada beberapa orang perempuan yang dulunya sahabat rapat Saydatina Khadijah, sehingga menimbulkan kecemburuan di hati Aisyah.
Tetapi tiada siapa dapat menafikan bagaimana pengorbanan Saydatina Khadijah membela RasulULLAH ketika membawa risalah Islam di peringkat awal, yang menggambarkan perkahwinan RasulULLAH didorong oleh kecintaan Saydatina Khadijah kepada ALLAH dan Rasul-NYA.
Dalam masyarakat kita juga banyak ditemui pasangan yang cinta mereka berkekalan sehingga akhir hayat. Benarkah cinta di usia lanjut jauh lebih hebat dan harmonis?
Saya banyak juga membaca buku-buku yang berkaitan dengan kisah cinta ini dan memang diceritakan jika pasangan itu serasi dalam rumahtangga, maka makin bertambah usia makin mendalam cinta mereka. Isteri semakin sayang kepada suami kerana didikan dan penjagaan yang diberikan. Manakala si suami juga semakin kasih pada isteri kerana kasih sayang serta perhatian yang diberikan oleh isteri.
Bagi seorang isteri yang cuba mengekalkan cinta suami, lalu berusaha menjaga hal-hal seperti sentiasa bersenam supaya keadaan fizikal cergas dan menarik, masuk spa mengekalkan penjagaan kulit dan sebagainya. Adakah ini dikira perkara makruf yang mendatangkan pahala bagi seorang isteri?
Dalam tafsir Khazim, ada diterangkan tentang kisah Abdullah bin Abbas yang memtik kisah RasulULLAH yang mengatakan “Aku ingin benar apabila aku berhias untuk mendapat kasih sayang dari isteri sebagaimana aku mahu isteri aku berhias untuk aku sayangi.” Kisah ini menjelaskan pada kita bahawa setiap perbuatan yang boleh mendatang kasih sayang antara suami isteri adalah perbuatan yang makruf atau perbuatan baik. Malangnya dalam masyarakat kita, sebelum berkahwin ramai yang suka berhias untuk pasangannya. Tetapi selepas berkahwin, seolah-olah tidak pedulikan perihal berhias untuk pasangan.
Mungkin isteri beranggapan suami sekarang sudah menjadi kepunyaannya. Jadi tidak perlu susah-susah berhias untuknya. Bukankah suami itu mempunyai peluang untuk berkahwin lain sekiranya ia mempunyai alasan yang munasabah. Sebab itu isteri perlu bijak melayan suami dengan memberikan perhatian kepada perkara-perkara yang menjadi kesukaan suami. Khidmat pada pasangan ini tidak semesti hal-hal besar, tetapi hal-hal kecil akan menambat dan meningkatkan lagi rasa sayang pasangan. Seperti bertanya mahu makan apa, pasangkan butang baju, mudahkan urusannya di rumah. Sangat baik kalau kita tahu apa kesukaan pasangan kita dan perkara-perkara yang tidak disukainya. Memberikan hadiah perkara yang disukai oleh pasangan, sudah tentu akan mengukuhkan lagi rasa kasih dan sayang kedua-dua belah pihak.
Alam rumah tangga pada zaman moden ini amat mencabar kerana ramai pasangan terdedah dengan perkara-perkara yang boleh mengganggu kesetiaan dalam rumah tangga. Apa panduan Tok Guru pada pasangan muda agar kekal bahagia dalam rumahtangga yang dibina?
Membina rumah tangga bahagia bermula dengan niat yang baik dan tepat mengikut syaria. Malangnya terdapat pasangan yang salah niat asalnya mendirikan rumah tangga. Misalnya, berkahwin dengan seorang perempuan kerana kecantikannya atau kerana kedudukannya semata-mata, disebabkan perempuan itu mempunyai jawatanbesar dan gaji besar. Niat ini adalah salah. Saya menyeru pada lelaki yang mempunyai niat seperti ini agar membetulkan niatnya kerana adalah malu bagi seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan kerana ingin menikmati harta isteri. Jadi, banyaknya perkahwinan berakhir dengan penceraian kerana niat asal mendirikan perkahwinan adalah tidak berpandukan syariat.
Binalah perkahwinan kerana cinta kepada ALLAH dan menegakkan sunnah RasulULLAH. Tanamkan di hati, aku ingin berkahwin untuk menyalurkan fitrah dan menghindari perzinaan. Kemudian ingin mendapat zuriat dan generasi yang akan menyambung sunnah RasulULLAH. Kalau cinta seperti ini pendorong perkahwinan, percayalah bahawa cinta akan indah selepas nikah. Gangguan syaitan untuk meruntuhkan perkahwinan dapat ditepis.
Bagi seorang lelaki, godaan seorang wanita perkara yang amat mencabar dan Tok Guru ada tip berasaskan pengalaman berdepan dengan hal ini?
Sebagai seorang yang mempunyai jawatan, gaji, dan sedikit ilmu, godaan ini tetap ada. Saya pernah menerima surat cinta luahan hati wanita, atau melalui telefon. Tetapi sebagai seorang yang cuba hidup berpandukan syariat, ketika berdepan dengan situasi tersebut, saya akan cepat bertindak menghindarinya. Misalnya, kalau telefon bunyinya sudah agak lain, saya akan akhiri perbualan. Memang, perempuan mana yang tidak minat pada seorang lelaki yang ada kedudukan, ilmu dan pangkat. Tapi sikap saya, jika perhubungan itu boleh menggugat kedudukan rumahtangga saya, saya akan menghindarinya. Jadi sebagai lelaki kita perlu berhati-hati dengan perasaan wanita.
p/s : so, kesimpulannya???...hehe
2 comments:
sah sah kena kahwen dah madsha nih.
Post a Comment