Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (13) وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُهِينٌ (14)- النساء: 13-14
Yang bermaksud : Itulah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina. – Surah Al-Nisa’, ayat 13-14
- Yang Berhormat Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan,
- Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri
- Yang Amat Arif Dato’ Hakim Mahkamah Tinggi,
- Yang Berhormat Sahibul Samahah Dato’ Mufti Kerajaan Negeri,
- Yang Berhormat Dato’ Pengerusi Pembangunan Islam, Pendidikan Dan Dakwah Negeri Kelantan
- Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
- Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri Dan Dewan Rakyat,
- Yang Berhormat Dato’ Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan,
- Ketua-ketua Jabatan, Tengku-tengku, Dato’-dato’, Datin-datin, Tuan-tuan, Puan-puan, sidang hadirin yang dikasihi sekalian,
Alhamdulillah, setinggi-tinggi lafaz syukur kita rakamkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat dan keizinan daripadaNya, dapat kita bersama-sama berada di dalam Majlis perasmian sambutan Hari Hududulullah negeri Kelantan darul naim untuk kali ini. Tahniah saya ucapkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan di atas penganjuran sambutan ini. Saya difahamkan tema untuk sambutan Hari Hududullah pada tahun ini ialah ““Hudud Satu Pencegahan dan Pendidikan, Bukan Hukuman”.
Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.
Di dalam al-Quran, perkataan hudud disebut sebanyak 11 kali di dalam 7 ayat yang dirangkumi di dalam 5 surah yang berlainan. Daripada 7 ayat tersebut, satu daripadanya membicarakan tentang hukum hakam puasa, tiga ayat daripadanya membicarakan tentang hukum cerai dan iddah, satu ayat membicarakan tentang hukum faraid atau pembahagian harta pusaka iaitu ayat yang saya bacakan di awal ucapan tadi, satu ayat menceritakan sikap orang-orang munafik yang suka melanggar hudud Allah dan satu ayat lagi membicarakan tentang hukum zihar.
Penelitian terhadap ayat-ayat ini memberikan kefahaman kepada kita bahawa hudud bukanlah bermaksud hukuman ke atas penjenayah terhadap kesalahan-kesalahan seperti mencuri, berzina dan minum arak sahaja, tetapi lebih luas lagi ia mencangkupi semua batasan syariat yang ditentukan oleh Allah SWT. Justeru, menjadi satu silap faham yang sangat dikesalkan apabila disebut hudud, ia digambarkan sebagai satu hukuman yang kejam terhadap pesalah dan dilabel sebagai primitif serta ketinggalan zaman. Sedangkan setiap pekara yang dibatasi oleh syariat dengan hukum halal dan haram dalam urusan hidup manusia turut disebut hudud Allah.
Contohnya makan minum, dihalalkan oleh Allah SWT tetapi memakan perkara yang haram dikira melanggar hudud Allah. Melunaskan tuntutan fitrah manusia untuk berpasangan dibenarkan oleh Allah SWT melalui ikatan perkahwinan dan diharamkan jika dilakukan melalui hubungan zina dan ia dianggap melanggar hudud Allah. Kesimpulannya, setiap perkara yang haram melanggar perintah Allah SWT dianggap sebagai melanggar hudud Allah SWT. Rasulullah SAW mengumpamakan perbuatan melakukan perkara yang haram ini seperti menceroboh tanah larangan milik Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW :
أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلَا إِنَّ حِمَى اللَّهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Yang bermaksud :
Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya larangan Allah di bumiNya adalah hal-hal yang diharamkanNya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging, apabila daging itu baik maka seluruh tubuh itu baik. Dan apabila daging itu rosak maka seluruh tubuh itupun rusak. Ketahuilah, itulah qalb. – Hadis riwayat Bukhari.
Hadirin yang dikasihi sekalian.
Saya menyebut hakikat ini kerana kekeliruan yang timbul atau sengaja ditimbulkan di dalam negara kita bahawa hudud ertinya hukuman ke atas pesalah. Justeru, hudud diwajahkan dengan wajah yang begitu buruk dan mengerikan. Seolah-olah apabila hukum hudud dilaksanakan, semua tangan akan dipotong dan semua batu akan dijadikan lontaran untuk pesalah. Kita masih terngiang-ngiang kata-kata sinis yang dilontarkan sedikit masa lalu yang menyatakan “Jika mahu menikmati sup tangan, silalah ke Kelantan’ dan “akan habislah batu-batu di Kelantan digunakan untuk melontar pesalah zina..”. Sekalipun ia sudah lama diucapkan, tetapi hakikatnya kata-kata dan ucapan seperti inilah yang memberikan imej yang negatif terhadap undang-undang hudud yang merupakah hak Allah SWT untuk dilaksanakan di bumi ini.
Hasilnya, masyarakat bukannya semakin dekat dengan Islam tetapi semakin jahil dan semakin jauh daripada syariat Islam yang sebenar. Syariat Islam bukannya dilihat indah dam cantik, tetapi dilihat primitif, ketinggalan zaman, ouf of date dan sebagainya. Tanggapan seperti ini bukan sahaja berlegar di kalangan non muslim bahkan masyarakat umat Islam sendiri masih keliru di dalam memahami keindahan syariat Islam yang sebenar.
Kekeliruan dan kejahilan ini bertambah parah apabila beberapa isu agama yang berlaku sejak akhir-akhir ini tidak ditangani sebagaimana yang diajar oleh agama yang natijahnya mengakibatkan Islam semakin dipandang serong oleh masyarakat. Isu-isu seperti larangan non muslim memasuki masjid dan juga bacaan al-Quran di pembesar suara misalnya, ditangani dengan wajah yang lebih cenderung ke arah sentimen tanpa bimbingan ilmu yang sebenar. Hasilnya, sentiment yang dibakar bertambah panas sedangkan panduan sebenar Islam diketepikan.
Saya sifatkan golongan yang menolak, menghina dan mengenepikan syariat Islam khususnya hudud merupakan golongan yang jahil dan tidak mengetahui keindahan syariat Islam itu sendiri. Sekalipun mungkin mereka beragama Islam, tetapi Islam yang dianuti hanya di ruang yang terbatas tanpa didaulatkan sebagai undang-undang yang memerintah. Hakikatnya, menolak undang-undang syariah samalah ertinya dengan menafikan kebijaksanaan Allah SWT selaku Pentadbir ala mini. Kalaulah seorang warganegara yang berani mengkritik undang-undang negaranya sendiri boleh dianggap sebagai menghina dan mempersendakan undang-undang tersebut, maka lebih besar kesalahannya jika seorang Islam berani mengkritik undang-undang Islam sebagai ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan masa, orang ini bukan sahaja mencabar kebijaksanaan dan kekuasaan Allah S.W.T, tetapi boleh menjejaskan imannya sebagai seorang muslim.
Saya yakin, sebahagian besar daripada masalah ini ialah kerana kejahilan terhadap keindahan undang-undang Islam itu sendiri. Justeru, Kelantan mengambil inisiatif untuk mengadakan sambutan Hari Hududullah setiap tahun dan pada tahun ini pula diadakan seminar undang-undang syariah peringkat kebangsaan untuk memberikan pendedahan dari masa ke semasa kepada masyarakat agar apabila tiba saat dan masanya yang membolehkan hudud dilaksanakan, ia akan dilaksanakan dengan penerimaan dan kefahaman daripada masyarakat yang sudah terdidik dengan maklumat-maklumat yang benar. Saya optimis, jika wajah sebenar undang-undang syariah didedahkan, tidak akan ada suara-suara sumbang yang menolak pelaksanaannya nanti. Kata cerdik pandai tidak kenal maka tidak cinta.
Justeru, besarlah harapan saya agar seminar-seminat ini dapat dilaksanakan dari masa ke semasa dan juga turut dibuka penyertannya kepada sahabat-sahabat dari masyarakat non muslim untuk datang mendengar dan mengemukakan persoalan agar setiap kemusykilan dapat dijawab oleh para ilmuan bukannya diperdebatkan di dada-dada akhbar yang kadang-kadan lebih bersifat bias politik semata-mata.
Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.
Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang menyokong segala usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam mempertingkatkan syiar Islam di bumi ini. Saya juga menyeru kepada semua jabatan kerajaan sama ada negeri atau pesekutuan agar sama-sama bertanggungjawab dalam meningkatkan kualiti Iman, menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran dengan cara masing-masing. Mudah-mudahan kehidupan kita semua ini akan mendapat ihsan dan keberkatan dariNya.
Firman Allah SWT :
ولْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya". –Surah Ali Imran, ayat 104.
Saya juga ingin tegaskan bahawa hukum hudud ini jika dilaksanakan bukannya dipelopori oleh orang politik. Tetapi hakim yang akan menjatuhkan hukuman. Itupun akan menjalani perbicaraan yang adil terlebih dahulu. Jadi tidak perlu untuk merasa gerun dan takut dengan hukum hudud kerana bimbang kononnya akan dikuasai oleh orang politik.
Justeru, saya mengharapkan agar tabiat menolak hudud ini dapat diperbetulkan agar jangan menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat.Jika gejala penolakan ini tidak dibendung, saya bimbang menjadi satu trend yang sebenarnya membawa kesan yang tidak baik terhadap akidah umat Islam. Jangan merasakan ini sebagai satu isu yang mudah kerana mempertikaikan hukum hudud sebenarnya mempertikaikan Allah SWT.
Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Dengan lafaz :
أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT TUAN GURU DATUK BENTARA SETIA
MENTERI BESAR KELANTAN
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI HUDUDULLAH
NEGERI KELANTAN
PADA : 22 SYAWWAL 1432H / 20 SEPTEMBER 2011M
BERTEMPAT DI DEWAN BESAR BALAI ISLAM, LUNDANG
KOTA BHARU, KELANTAN
JAM : 10.30 TENGAH HARI
No comments:
Post a Comment