Hijrah Demi Tegak Ketuanan Islam!..
Firman Allah SWT, maksudnya: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui. (Iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal..” (Surah an-Nahl 16: 41-42)
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumi-Nya ini. Kini kita menyambut tahun baru 1432 Hijrah maka setahun lagi usia kehidupan kita bertambah. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT suatu masa kelak.
Sesuai dengan kedatangan tahun baru Hijrah ini, maka ada baiknya kita memperingati Peristiwa Hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan ia selari dengan perintah al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua.
Firman Allah SWT, maksudnya: “Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Surah Yusoff 12:111)
Justeru, memperingati Peristiwa Hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimana pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Islam di muka bumi ini seperti mana di perintahkan oleh Allah SWT.
Hari ini, setelah 1432 tahun ia berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan dan perilakunya selepas ini.
Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT. Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik. Di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam sebenar yang mengambil kira soal dosa dan pahala. Seterusnya di dalam semua bidang di dalam kehidupan, selaraskanlah semua aktiviti hidup kita agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT. Insya-Allah, jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, maka kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk mengurus tadbir kehidupan ke arah masyarakat yang aman dan sejahtera.
Semoga kehadiran tahun 1432 Hijrah ini memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan demi memartabatkan ketuanan Islam dalam kehidupan kita di dunia menuju akhirat.
Sekian.
MEMBANGUN BERSAMA ISLAM
* KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN *
Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh: 1 Muharam 1432H / 7 Disember 2010M
p/s :
1) nasib baiklah orang-orang ansar madinah dulu tak menegakkan 'ketuanan ansar', kalau tak, tidak jadilah peristiwa Hijrah tersebut..
2) sy yakin ketuanan melayu akan lenyap jugak satu hari nanti..sebagaiman telah lenyap slogan-slogan yg batil terdahulu!
3) Salam Maal Hijrah 1432 Untuk Semua!..:)
No comments:
Post a Comment