Tertarik saya apabila membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian, 10 Januari 2010 di muka surat N2.
Beliau dilaporkan menyuarakan keyakinan Barisan Nasional untuk menawan Kelantan pada pilihanraya umum ke-13 yang akan datang. Saya menghormati keyakinan beliau walaupun di dalam pilihanraya yang lepas Barisan Nasional juga turut yakin menawan Kelantan sehingga sanggup menabalkan ‘bakal Menteri Besar’ di merata tempat.
Alhamdulillah, keyakinan mereka tidak dimakbulkan Allah SWT dan ‘bakal Menteri Besar’ yang ditabalkan itu tidak berjaya mencapai hasrat tersebut. Di dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang, tidaklah pula saya dapat meneka siapakah pula yang akan dinobatkan sebagai ‘bakal Menteri Besar’.
Apapun, saya tertarik apabila beliau menyatakan faktor yang akan membantu kejayaan BN nanti ialah kegagalan PAS untuk mengatasi masalah rakyat terutama isu air, banjir dan juga kemudahan asas. Tabiat pimpinan UMNO dan Barisan Nasional rupaya masih belum berubah.
Betullah kata pepatah Melayu, rupa dapat diubah, tabiat dibawa mati. Sejak dari dulu lagi inilah tohmahan yang sering dilemparkan kepada kerajaan Kelantan. Bukan hari ini bahkan semenjak hari pertama saya mengangkat sumpah selaku Menteri Besar dua dekad yang lalu, sudah ada yang meramalkan kerajaan Kelantan hanya akan kekal selama tiga bulan!
Sukalah saya tegaskan, UMNO/BN tidak perlu menawan Kelantan jika benar ingin membawa pembangunan. Kita membuka pintu 25 jam sehari untuk kerajaan Pusat pimpinan UMNO/BN untuk melaksanakan pembangunan di Kelantan. Hari ini, jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu sedang dilebarkan dan prosesnya sedang rancak berjalan. Ini projek kerajaan Pusat dan proses tender pn diuruskan oleh kerajaan Pusat. Sekalipun khabar angin kuat bertiup menyatakan kontraktor asalnya telah lari, Alhamdulillah jambatan tersebut tidak dibawa lari. Hari ini saksikanlah projeknya sedang berjalan lancar tanpa sedikitpun gangguan dari kerajaan negeri.
Kami membuka tangan seluas-luasnya, bawalah pembangunan yang dijanjikan itu ke negeri Kelantan. Saya lihat apa yang menjadi masalahnya ialah sikap tidak serius sebahagian dari pimpinan UMNO/Barisan Nasional atau mungkin juga ada sabotaj dari pimpinan UMNO/BN dari negeri Kelantan sendiri. Contohnya, projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, sudah banyak kali taklimat disampaikan, tetapi hanya tinggal setakat taklimat. Atau mungkinkah juga masih ada pemimpin UMNO Kelantan yang tergamak menyekat pembangunan dari sampai ke Kelantan? Datuk Seri Mustapha Mohamed tentu faham maksud kenyataan saya ini.
Sukalah saya ingatkan bahawa politik menjanjikan pembangunan semata-mata ini ialah warisan politik jahiliyyah. Islam tidak pernah menolak pembangunan, buktinya kami di Kelantan alhamdulillah terus membangun. Sedikit demi sedikit kami langsaikan hutang yang ditinggalkan oleh UMNO yang ‘terlalu pandai’ membangunkan negeri. Adapun UMNO yang terus cuba mengaburi pandangan rakyat Kelantan dengan janji pembangunan perlu ingat bahawa inilah politik yang dibawa oleh kaum musyrikin Quraisy sewaktu menentang Nabi Muhammad SAW. Saya mengajak pimpinan UMNO Kelantan khususnya, marilah kita membaca ayat ini :
( وقالوا لن نؤمن لك حتى تفجر لنا من الأرض ينبوعا ( 90 ) أو تكون لك جنة من نخيل وعنب فتفجر الأنهار خلالها تفجيرا ( 91 ) أو تسقط السماء كما زعمت علينا كسفا أو تأتي بالله والملائكة قبيلا ( 92 ) أو يكون لك بيت من زخرف أو ترقى في السماء ولن نؤمن لرقيك حتى تنزل علينا كتابا نقرؤه قل سبحان ربي هل كنت إلا بشرا رسولا ( 93 )
90. Dan mereka berkata: "Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami,
91. Atau kamu mempunyai sebuah kebun korma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya,
92. Atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.
93. Atau kamu mempunyai sebuah rumah dari emas, atau kamu naik ke langit. dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah Kitab yang kami baca". Katakanlah: "Maha Suci Tuhanku, bukankah Aku Ini Hanya seorang manusia yang menjadi rasul?" (Surah al-Israk, ayat 90-93)
Ayat ini saya yakin turut dibaca oleh pimpinan UMNO/BN. Bahkan tidak mustahil ayat ini turut dipertandingkan di dalam musabaqah tilawah al-Quran. Ia menceritakan dialog yang diucapkan oleh kaum musyrikin Quraisy sewaktu menentang dakwah Nabi Muhammad SAW. Mereka mencabar Nabi Muhammad SAW supaya mendatangkan mata air dari bumi atau kebun kurma dan anggur yang mengalir sungai-sungai dicelahnya atau kepingan emas dari langit atau rumah yang dibuat daripada emas. Inilah politik jahiliyyah, Politik mereka ialah politik pembangunan material semata-mata.
Ukuran mereka untuk menerima atau menolak dakwah ialah pembangunan yang dapat dilihat dengan mata kasar mereka. Saya bimbang, politik sama cuba dibawa oleh UMNO/Barisan Nasional ketika menentang perjuangan PAS. Jika hari ini UMNO/Barisan Nasional hanya berbekal dengan janji pembangunan, apakah bezanya dengan corak pemikiran kaum musyrikin Quraisy?
Perlu ditegaskan, Islam tidak pernah menolak pembangunan. Kelantan Alhamdulillah terus membangun. Tetapi Islam mengajar bahawa pemikiran seorang muslim haruslah digerakkan untuk mengingati akhirat. Manusia pastinya akan berdiri di hadapan Allah SWT pada saat yang tidak lagi berguna padanya bangunan yang tinggi, lebuhraya yang lebar dan juga darah Melayu yang mengalir di tubuhnya. Jika perjuangan Rasulullah SAW hanyalah untuk membawa kekayaan semata-mata, apa gunanya baginda dibangkitkan dari keluarga yang miskin sehingga ditohmah seperti yang disebut oleh Allah SWT :
وقالوا لولا نزل هذا القرآن على رجل من القريتين عظيم
Yang bermaksud : Dan mereka berkata: "Mengapa Al Quran Ini tidak diturunkan kepada seorang besar dari salah satu dua negeri (Mekah dan Thaif) ini?" – Surah al-Zukhruf, ayat 31.
Para ulama menyatakan bahawa orang besar dari dua negeri itu ialah al-Walid bin al-Mughirah dan Urwah bin Mas’ud al-Thaqafi. Mereka berdua orang yang kaya dan berpengaruh dan tentutnya lebih layak untuk menjadi nabi pada pandangan cetek jahiliyyah. Tetapi nyata sekali, Islam tidak melihat kelebihan pada harta yang banyak lalu diutuskan Rasulullah SAW dari keluarga yang miskin. Ini tidak bermakna seorang muslim perlu hanya duduk di masjid semata-mata, tetapi dia perlu terjun ke tengah masyarakat melakukan amar makruf nahi munkar dan melaksanakan seluruh tuntutan Allah SWT.
Jika boleh, saya ingin sangat UMNO menjawab soalan yang telah lama saya lontarkan ; apakah sebab UMNO ingin merampas Kelantan? Hanya ada dua kemungkinan saja jawapannya, pertamanya kerana dasar yang kami perkenalkan di Kelantan ini tidak baik. Jika demikian ertinya UMNO akan merubah dasar ini. Wang kerajaan akan dicampurkan semula ke dalam perbankan ribawi. Persembahan hiburan yang melanggar syariat akan dibenarkan semula. Premis-premis judi akan tumbuh semula sebagaimana apa yang dilakukan oleh UMNO di negeri-negeri yang lain di bawah pemerintahan mereka. Adakah itu yang UMNO akan lakukan? Jika demikian, nyata sekali lagi bahawa perjuangan UMNO wajib ditolak oleh rakyat.
Jawapan kedua, apa yang telah kami lakukan di Kelantan ini betul dan baik untuk rakyat demi kepentingan dunia dan akhirat mereka. Jika begitu, tidak ada keperluan untuk UMNO merubah sesuatu yang telah sedia baik. Atau barangkali UMNO berhajat untuk melaksanakan projek pembangunan sebanyak-banyaknya di Kelantan, itupun tidak pernah kami halang. Cuma saya sekadar ingin bertanya tentang perkara-perkara berikut :
- Apa jadi dengan projek sistem tebatan banjir di jajahan Pasir Mas yang dijanjikan ketika pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir pada tahun 2005 oleh Perdana Menteri Malaysia yang pada waktu itu memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri? Janji ini masing diingati oleh pengundi-pengundi di DUN Pengkalan Pasir.
- Apa jadi dengan janji projek jambatan yang menuju ke Manek Urai Lama yang dijanjikan pada tahun 2009 sewaktu pilihanraya kecil Manek Urai. Khabarnya papan tandanya hanya didirikan sewatku pilihanraya kecil Galas yang lepas. Jangan pula papan tandanya rebah ke bumi sebelum sebutir batupun tiba!
- Dan apa pula perkembangan projek perumahan rakyat bernilai RM300 juta ditabur di Galas, Gua Musang baru-baru ini yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri? Jika BN tewas di Manek Urai menjadi alasan janji tidak dilaksanakan,apa pula alasan BN di Galas?
Tiga soalan ini sudah cukup untuk pimpinan UMNO/Barisan Nasional khususnya di Kelantan mentelaah jawapannya sebelum saya bertanya-tanya soalan-soalan yang lain. Apapun, saya yakin inilah janji yang akan terus ditabur oleh UMNO di dalam menarik sokongan rakyat. Apa lagi yang ada pada UMNO jika tidak janji seperti ini? Mereka akan terus berjanji, manakala rakyat pula terus dibebani dengan kenaikan harga barang ekoran ketiadaan amanah di dalam mengurus harta rakyat.
Akhir kata, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan terima kasih atas ucapan tahniah dari pelbagai pihak sempena ulang tahun kelahiran ke-80 saya pada 10 Januari 2011. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada saya untuk terus berjuang ke arah memastikan Islam diterima oleh semua pihak di Malaysia Insya-Allah. Saya sering mengingatkan diri saya dengan sabda Rasulullah SAW :
خير الناس من طال عمره وحسن عمله وشر الناس من طال عمره وسيء عمله
Yang bermaksud : “Sebaik-baik manusia ialah yang panjang umurnya dan baik amalannya, manakala seburuk-buruk manusia ialah yang panjang umurnya dan buruk pula amalannya..”
Sekian.
TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Menteri Besar,
Kelantan Darul Naim.
Bertarikh : 6 Safar 1432 H bersamaan 11 Januari 2011M
No comments:
Post a Comment