Alhamdulillah, tahun 2010 diakhiri dengan kejayaan gemilang untuk sukan bola sepak negara. Beliau seterusnya bertandang ke rumah saya untuk menghadiri majlis akikah cucu saya yang ke-54. Alhamdulillah. Walaupun sedikit terlewat sukalah saya mencoretkan sedikit tulisan sempena tahun baru 2011 yang menjelma ini.
Pertamanya, segala puji bagi Allah SWT yang terus memberikan kepada kita nikmat yang berterusan untuk mengecapi kehidupan di bumiNya pada hari ini. Lembaran tahun baru 2011 Masihi yang baru sahaja menjelma di dalam kehidupan seharusnya disambut dengan kesyukuran yang tidak terhingga di atas belas kasih Allah SWT terhadap diri kita semua. Sesunguhnya nikmat hidup serta kesihatan yang berpanjangan merupakan sebesar-besar nikmat yang sering dilupakan oleh manusia. Rasulullah SAW bersabda :
نعمتان مغبون فـيهما كثير من الناس : الصحة والفراغ
Yang bermaksud : Ada dua nikmat dimana banyak orang yang tidak menghargai (atas kedua nikmat itu), yaitu nikmat sihat dan waktu luang” [HR. Bukhari]
Bagaimanapun, di dalam suasana kita menyambut kehadiran tahun baru ini, sedarkah kita bahawa Islam mengajar kita bahawa kesyukuran perlu sentiasa dipanjatkan kepada Allah SWT setiap kali menjelangnya hari baru tidak hanya satu kali dalam satu tahun. Justeru, Rasulullah SAW mengajar kita untuk berdoa setiap kali bangun pada waktu pagi :
أصبحنا وأصبح الملك لله رب العالمين, اللهم إني أسألك خير هذا اليوم: فتحه, ونصره ونوره, وبركته, وهداه, وأعوذ بك من شر ما فيه وشر ما بعده
Yang bermaksud : "Kami telah memasuki pagi baru, sedang kerajaan hanya milik Allah, Rabb seru sekalian alam. Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada-Mu agar memperoleh kebaikan, kerterbukaan (rahmat), pertolongan, cahaya, berkah dan petunjuk di hari ini. Aku berlindung kepada-Mu dari kejelekan apa yang ada didalamnya dan kejahatan sesudahnya." – Hadith Riwayat Abu Dawud.
Demikianlah juga perlindungan daripada Allah SWT diajar untuk sentiasa dilafazkan setiap hari di waktu pagi dan petang. Ini menunjukkan pergantungan seorang manusia dengan Allah SWT bukan hanya bermusim pada waktu-waktu tertentu sahaja. Ia hendaklah diperbaharui setiap hari dan sepanjang waktu. Sabda Rasulullah SAW :
مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ
Yang bermaksud : Sesiapa yang membaca : "Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan nama-namaNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." sebanyak tiga (3) kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika waktu pagi sebanyak tiga (3) kali, dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya..” - Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi.
Inilah yang sewajarnya diasuh dan dipasak di dalam diri setiap daripada kita semua. Menanam azam baru di setiap awal tahun tidaklah salah, namun lebih tepat lagi jika dilakukan setiap pagi dan petang. Oleh yang demikian saya berpandangan bahawa kesukaan dan kegembiraan menyambut tahun baru dengan mengadakan pesta besar-besaran tidak lebih hanyalah merupakan satu pesta untuk bersukaria semata-mata. Ia perlulah dilengkapkan dengan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT, jika tidak ia hanya akan menjadi pesta dan aktiviti yang melalaikan.
Alhamdulillah, di Kelantan kita mengajar rakyat agar sentiasa ingat kepada Allah SWT yang merupakan Tuhan bukan sahaja di dalam masjid tetapi juga di luar masjid. Di awal tahun, pertengahan dan akhirnya, Allah SWT tetap merupakan satu-satunya tuhan yang layak untuk dipuja. Kita mengajar rakyat agar yakin bahawa hidup ini hanyalah satu persinggahan semata-mata, tiba saat dan waktunya kita akan dipanggil untuk dihisab di hadapan Allah SWT.
Seorang Menteri Besar bukan lagi menjadi Menteri Besar di waktu itu. Begitu juga seorang Raja atau Perdana Menteri, apatah lagi Menteri atau pegawai, tidak lagi memegang jawatan yang disandang di dunia. Di akhirat, bagaimana amanah itu dilaksanakan akan disoal dan dijawab. Di dunia, ia perlu ditanggung dan di akhirat, ia perlu dijawab, kerana itulah ia digelar tanggungjawab.
Inilah pengajaran yang perlu diketahui oleh setiap manusia khususnya seorang yang beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Atas asas inilah, saya tegas untuk menyatakan bahawa setiap aktiviti menyambut tahun baru jangan sekali-kali melanggar dasar Membangun Bersama Islam yang telah kita tetapkan.
Kita perkenalkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 untuk mengingatkan rakyat bahawa Allah SWT yang dihadapkan solat kita di masjid itulah juga Allah SWT yang sama sewaktu kita berhibur. Apa yang ktia lakukan di luar masjid jangan sama sekali bertentangan dengan apa yang kita lakukan di dalam masjid. Sayang sekali, sebahagian daripada kita bukan sahaja mengasingkan diri daripada masjid bahkan memarahi orang lain yang ingin mendekati masjid.
Apapun, saya berharap agar tahun baru 2011 ini terus menerus membekalkan kita dengan semangat untuk meningkatkan mutu kerja kita sebagai hamba Allah SWT di dalam mencari bekalan untuk mengadapNya di hari akhirat kelak.
Salam tahun baru.
HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.
No comments:
Post a Comment